Redzuan ikrar sokong Perikatan, tidak akan letak jawatan menteri


Ravin Palanisamy

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof ketika ditemui dalam sidang media yang diadakan di kediamannya di Kajang, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 5 Jun, 2020.

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof menegaskan beliau kekal menyokong Perikatan Nasional (PN) dan tidak akan letak jawatan kabinet, sekali gus menamatkan teka teki mengenai pendirian politiknya yang menjadi spekulasi sejak seminggu lalu.

Katanya, spekulasi melibatkan dirinya itu tidak berasas, sebaliknya beliau komited bersama PN dan mahu membantu pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin memajukan negara.

“Ada banyak spekulasi serta fitnah di media sosial melibatkan beberapa pemimpin, termasuk tentang peletakan jawatan saya.

“Saya hendak tekankan bahawa ini tidak betul. Saya rasa ada beberapa kumpulan yang mempunyai kepentingan politik yang mahu menjejaskan kestabilan politik negara.

“Sekali lagi, saya belum letak jawatan dan tidak akan letak jawatan, sebaliknya akan terus bersama kabinet yang diketuai Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk mengukuhkan pentadbiran dan pengurusan negara, terutamanya dalam keadaan ekonomi yang mencabar di tengah Covid-19,” katanya dalam sidang media yang diadakan di kediamannya, di Kajang, hari ini.

Bekas ketua Bersatu Masjid Tanah itu berkata sidang media hari ini diadakan untuk menjelaskan kedudukan dan pendirian politiknya.

Katanya, pemimpin dan parti politik perlu berhenti main politik, sebaliknya membantu usaha menangani kesan ekonomi akibat penularan Covid-19.

“Saya cuma hendak semua ini berhenti di sini. Tolong hentikan. Jangan buat buat spekulasi. Kita ada kerja. Sepanjang masa saya ditanya soalan yang sama.

“Saya cuma hendak terus bekerja. Jadi apa sebab saya hendak letak jawatan?” katanya, yang juga ahli Parlimen Alor Gajah.

Beliau juga yakin PN akan dapat kekal sebagai kerajaan walaupun ada majoriti yang tipis di Dewan Rakyat.

Sejak seminggu lalu, pendirian politik Redzuan jadi perhatian selepas beliau dilaporkan memanggil satu sidang media pada Jumaat lepas, dipercayai untuk mengumumkan sokongan kepada Dr Mahathir Mohamad.

Beliau sebelum itu dilihat mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir, sehari selepas bekas perdana menteri itu diumum oleh Bersatu terhenti keahlian dalam parti bersama empat ahli Parlimen yang tidak menyokong PN.

Pejabat Redzuan bagaimanapun menafikan ada sidang media dipanggil sementara menteri itu menafikan desas-desus beliau mahu letak jawatan.

Beliau juga berkata pertemuan itu adalah ziarah hari raya, dan beliau juga bertemu pemimpin lain.

Semalam, Ahli Parlimen Sri Gading Dr Shahruddin Md Salleh letak jawatan timbalan menteri dengan alasan tersalah menyokong PN. 

Dalam surat peletakan jawatan kepada perdana menteri, Shahruddin bagaimanapun berkata beliau kekal sebagai ahli Parlimen PN.

Shahruddin yang juga bekas setiausaha agung Bersatu semasa penubuhan parti itu pada September 2016 adalah bekas setiausaha politik Muhyiddin antara 1998 dan 2009. – 5 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen