PELETAKAN jawatan Dr Shahruddin Md Salleh sebagai timbalan menteri kerja raya hari ini mencetuskan tanda tanya mengenai kedudukan kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang mungkin boleh hilang majoriti tipis sedia ada sejak mengambil alih pentadbiran Pakatan Harapan awal Mac lalu.
Muhyiddin sebelum ini dipercayai mempunyai kelebihan dua kerusi daripada majoriti tipis yang diperlukan untuk membentuk kerajaan di Dewan Rakyat, kini dipercayai hilang satu lagi kerusi.
Shahruddin dalam surat peletakan jawatannya yang ditandatangani yang tersebar di media sosial bagaimanapun menyebut beliau kekal bersama PN.
“Saya masih kekal duduk di kerusi backbenchers Perikatan Nasional,” katanya dalam surat yang dialamatkan kepada Muhyiddin.
Dalam satu kenyataan media yang dikaitkannya dengannya, Shahruddin bagaimanapun berkata beliau letak jawatan kerajaan kerana tersilap membuat “ijtihad politik” menyokong PN.
“Saya seharusnya meletakkan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi- pengundi di Parlimen Sri Gading telah memilih parti Pakatan Harapan dalam PRU14,” katanya, dalam kenyataan yang tersebar di media sosial.
Shahruddin tidak membuat sebarang kenyataan menjelaskan kenyataan media kepada pengundi serta surat peletakan jawatan kepada perdana menteri.
Jumpa Dr Mahathir
Sementara itu, Shahruddin mengadakan pertemuan dengan Dr Mahathir, beberapa jam selepas mengumumkan peletakan jawatannya. Ini adalah pertemuan kedua mereka yang diketahui umum sejak Jumaat lalu.
Shahruddin mengesahkan peletakan jawatannya namun enggan mengulas sokongan politiknya sama ada kepada PN atau PH.
“Lain kali jawab soalan media,” katanya, seperti dipetik Malaysiakini, selepas pertemuan dengan Dr Mahathir di bangunan Yayasan Albukhary di Kuala Lumpur, petang ini.

Gambar pertemuan mereka, yang disertai Marzuki Yahya, setiausaha agung Bersatu dalam kem Dr Mahathir, dimuat naik di laman Facebook bekas perdana menteri.
Sepotong video pendek pertemuan mereka juga dimuat naik di akaun Twitter Dr Mahathir dengan kapsyen berbunyi: “Selamat kembali.”
Dalam pada itu, Dr Mahathir juga dilaporkan mengadakan pertemuan berasingan dengan pemimpin PH dan Warisan.
Dalam gambar yang disebar di media sosial kelihatan dua pemimpin DAP iaitu Setiausaha Agung Lim Guan Eng dan Setiausaha Organisasi Anthony Loke, sementara Amanah diwakili Presidennya Mohamad Sabu. Warisan diwakili Presidennya Mohd Shafie Apdal.
Kem Dr Mahathir disertai Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir, yang bersama ayahnya minggu lalu diumum oleh Bersatu sebagai bukan lagi ahli parti. Setiausaha Agung Marzuki Yahya yang dipecat oleh Muhyiddin juga hadir.

Mesyuarat PH Plus (bersama Bersatu dari kem Dr Mahathir dan Warisan) ini bagaimanapun tidak disertai oleh PKR dan Presidennya Anwar Ibrahim.
Sebelum ini, Anwar juga tidak menyertai sidang media PH, Bersatu dan Warisan yang diadakan selepas pembukaan sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.
Dua hari selepas itu Anwar menjelaskan beliau tidak hadir kerana itu bukan sidang media PH.
PH ada majoriti semula?
Peletakan jawatan Shahruddin berlaku ketika China Press melaporkan Dr Mahathir dan Presiden PKR Anwar Ibrahim sudah mengadap Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan mereka kini mempunyai majoriti di Dewan Rakyat.
Laporan itu mendakwa gabungan PH, bersama ahli Parlimen yang menyokong Dr Mahathir dan Parti Warisan Sabah kini mempunyai 130 kerusi, termasuk 18 daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS).
GPS menyokong Muhyiddin dan PN sejak pentadbiran itu terbentuk pada 1 Mac lalu.
Laporan akhbar berbahasa Cina itu bagaimanapun tidak dapat disahkan.
Menurut laporan Bernama, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan hadir ke istiadat mengurniakan watikah pelantikan Yang di-Pertua Negeri Melaka kepada Mohd Ali Rustam di Istana Negara.

Minggu lalu, Shahruddin dilaporkan sepatutnya mengadakan sidang media bersama dengan seorang lagi pemimpin Bersatu iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof, dipercayai untuk mengumumkan peletakan jawatan daripada kerajaan.
Pejabat Redzuan bagaimanapun menafikan ada sidang media dipanggil sementara menteri itu menafikan desas-desus beliau mahu letak jawatan.
Dalam pada itu, penganalisis politik Dr Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata Perlembagaan Persekutuan menyebut seorang perdana menteri perlu mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat, dan tidak menyebut tentang parti politik.
“Ini bermakna tak perlu lompat parti untuk memberikan sokongan undi tak percaya, atau menyatakan sokongan kepada bakal calon perdana menteri atau perdana menteri sedia ada,” katanya.
Bersatu kini terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar dari PH dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan parti-parti lain atas nama PN.
Dr Mahathir dan kumpulannya mendakwa tindakan itu tidak mendapat mandat parti. Mereka juga sudah merujuk bantahan itu kepada pendaftar pertubuhan.
Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dijadual bermesyuarat malam ini, dipercayai antara lain membincangkan penyatuan parti dengan Umno. – 4 Jun, 2020.
Komen