Mesyuarat Bersatu akan sahkan penyingkiran Dr Mahathir dan masuk Umno, kata sumber


Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu malam ini dijangka memuktamadkan pemecatan Dr Mahathir Mohamad dan sekutu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

BERSATU dijangka memuktamadkan penyingkiran Dr Mahathir Mohamad dan sekutunya pada mesyuarat tergempar Majlis Pimpinan Tertinggi parti itu malam ini, kata sumber kepada The Malaysian Insight.

Sumber turut mendedahkan parti juga akan berbincang bagaimana Bersatu boleh kembali menyertai Umno.

“Walaupun tiada agenda mesyuarat malam ini dihantar, kami menjangkakan perkara ini (pengesahan Dr Mahathir disingkir),” kata seorang ahli MPT yang enggan dinamakan.

“Muhyiddin Yassin perlu memuktamadkan pemecatan dan mengesahkannya melalui MPT. Kerana itulah ahli MPT yang sepakat dengan Dr Mahathir juga disingkirkan hari ini,” tambahnya.

Dua penyokong Dr Mahathir- Ahli MPT Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi dan Setiausaha Agung yang jadi pertikaian Marzuki Yahya- dilucut daripada jawatan mereka hari ini.

Akhramsyah dilucutkan daripada jawatan dalam MPT, Marzuki pula dilucutkan jawatan selaku ketua Bersatu Pulau Pinang.

Pelucutan jawatan itu berlaku selepas pemecatan Dr Mahathir dan empat lagi pemimpin Bersatu minggu lepas.

Pemimpin yang dipecat selain Dr Mahathir ialah Mukhriz Mahathir (Jerlun), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

“Saya jangka MPT juga akan bincang bagaimana Bersatu akan kembali menyertai Umno,” kata sumber lagi.

Ini adalah perkembangan terkini selepas Sinar Harian hari ini melaporkan yang pemimpin Bersatu sedang berbincang dengan Umno untuk kembali menyertai parti Melayu terbesar itu.

Laporan menyebut yang Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang terbuka kepada cadangan membenarkan Muhyiddin terus menjadi perdana menteri sekiranya Bersatu kembali menyertai Umno.

Bersatu diasaskan pada September 2016 oleh Dr Mahathir dan Muhyiddin untuk melawan Umno pada pilihan raya umum lepas. Parti itu kemudian menyertai Pakatan Harapan dan berjaya menewaskan Barisan Nasional pada PRU2018.

Tetapi, kurang dua tahun berkuasa di Putrajaya, Muhyiddin mengeluarkan Bersatu daripada PH dan membentuk kerajaan Perikatan Nasional dengan Umno, PAS, Gabungan Parti Sarawak dan beberapa parti kecil dari Sabah. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen