2 penyokong Dr Mahathir dilucut jawatan dalam Bersatu


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin memecat Marzuki Yahya daripada jawatan ketua Badan Pimpinan Bersatu Pulau Pinang. Seorang lagi yang dipecat ialah Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

PRESIDEN Bersatu Muhyiddin Yassin mengetepikan lagi pemimpin parti yang dianggap tidak bersamanya, seminggu selepas parti mengambil tindakan terhadap Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli Parlimen lain yang diumumkan terlucut keahliannya dari parti kerana menyokong pembangkang.

Muhyiddin memecat Marzuki Yahya dan Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi masing-masing daripada jawatan sebagai ketua Badan Pimpinan Bersatu Pulau Pinang dan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Pemecatan itu berkuat kuasa serta merta, kata Muhyiddin dalam surat berasingan kepada mereka yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Surat bertarikh 2 Jun itu tidak menyebut kedudukan mereka sebagai ahli parti.

Muhyiddin juga menandatangani surat itu sebagai pemangku pengerusi, ketika Dr Mahathir mempertahankan beliau masih lagi pengerusi parti yang sah.

Bersatu kini terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan parti-parti lain atas nama Perikatan Nasional.

Dr Mahathir dan kumpulannya mendakwa tindakan itu tidak mendapat mandat parti. Mereka juga sudah merujuk bantahan itu kepada pendaftar pertubuhan.

Pada hujung Mac, Muhyiddin memecat Marzuki sebagai setiausaha agung Bersatu dan menggantikan beliau dengan Hamzah Zainuddin. Marzuki mempertikaikan keabsahan tindakan itu dan mendakwa dirinya masih setiausaha agung parti yang sah.

Akhramsyah Muamar Ubaidah Sanusi dipecat daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

Akramsyah, salah seorang antara tujuh pengasas Bersatu, adalah ahli MPT lantikan.

Minggu lalu, Bersatu mengeluarkan surat kepada Dr Mahathir, yang juga ahli Parlimen Langkawi, dan empat ahli Parlimen Bersatu memaklumkan keahlian mereka dalam parti “terhenti” serta merta atas tindakan mereka sendiri yang melanggar perlembagaan parti.

Mereka disebut tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Muhyiddin dan mereka duduk  di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu. 

Empat ahli Parlimen yang lain itu ialah Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun), Ketua sayap Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Ahli MPT Maszlee Malik (Simpang Renggam), dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Sehari selepas tindakan ke atas kelima-lima ahli Parlimen itu, Muhyiddin menjelaskan keputusan terhadap mereka tidak dibuat terburu-buru tetapi berlandaskan perlembagaan parti.

“Mereka tidak dipecat daripada parti. Sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti dengan serta-merta.

“Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal,” katanya.

Muhyiddin juga berkata tiada seorang pun dalam Bersatu yang mengatasi perlembagaan parti. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen