Keahlian Dr Mahathir tidak lucut terburu-buru, kata Muhyiddin


Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin berkata Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli parti tidak dipecat dari Bersatu tetapi keahlian mereka terhenti kerana melanggar perlembagaan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 30 Mei, 2020.

PELUCUTAN keahlian Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli Parlimen Bersatui daripada parti itu bukan keputusan terburu-buru tetapi berlandaskan perlembagaan parti, kata Muhyiddin Yassin.

Dalam kenyataannya, beliau berkata turut meminta ahli bertenang dan bersabar dalam menghadapi keputusan parti berkenaan yang dibuat secara adil dan tidak terburu-buru.

“Saya sendiri tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak desakan supaya tindakan terhadap mereka diambil lebih awal.

“Saya mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan
yang dibuat mestilah berlandaskan perlembagaan parti.

“Tiada mana-mana individu yang mengatasi perlembagaan parti,” katanya yang menyeru ahli menyokong parti dalam tindakan berkenaan.

Beliau juga menegaskan, Bersatu tidak memecat Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen berkenaaan. Sebaliknya keahlian itu gugur kerana melanggar peraturan parti, katanya.

“Mereka tidak dipecat daripada parti. Sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti dengan serta-merta,” kata Muhyiddin.

Keputusan itu melucutkan keahlian Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir, anaknya Mukhriz (Jerlun) dan tiga lagi – ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Maszlee Malik (Simpang Renggam) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Ia dinyatakan dalam satu surat pada Khamis lalu yang ditandatangani oleh setiausaha kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Surat itu menyebut keahlian mereka dalam Bersatu “terhenti serta merta” kerana tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh presiden parti Muhyiddin Yassin.

Surat itu memberikan alasan bahawa pada sidang Parlimen pada 18 Mei lalu, kelima-lima mereka “telah menyertai dan duduk di blok pembangkang” di Dewan Rakyat, semasa mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

Ahli Parlimen terbabit bagaimanapun menganggap tindakan parti mengumumkan keahlian mereka terhenti serta merta itu bertentangan dengan proses dan perlembagaan parti.

Mereka mahu mencabar keputusan tersebut di mahkamah dan menganggap alasan pemecatan disebabkan duduk di blok pembangkang itu sebagai “dangkal dan tidak munasabah”. – 30 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen