Tindakan Bersatu tidak sah, kata Dr Mahathir dan 4 yang lain


Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli Bersatu yang digugurkan keahlian petang tadi menyifatkan tindakan parti jelik dan biadab. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2020.

DR Mahathir Mohamad dan empat ahli Parlimen Bersatu menolak tindakan parti mengumumkan keahlian mereka terhenti serta merta, ekoran tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional, kerana ia bertentangan dengan proses dan perlembagaan parti.

Dalam satu kenyataan bersama, mereka menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang mencabar apa yang mereka sifatkan sebagai “pemecatan salah”, yang bukan saja melanggar tatacara tetapi dibuat secara “jelik dan biadab”.

“Kami tidak menerima pemecatan salah ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan bukan sahaja untuk diri kami tetapi untuk memastikan kemaslahatan ahli-ahli akar umbi Bersatu,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama malam ini.

Petang tadi, Bersatu mengeluarkan surat kepada Dr Mahathir serta empat yang lain memaklumkan bahawa berkuat kuasa serta merta hari ini, mereka bukan lagi ahli parti.

Empat Ahli Parlimen Bersatu yang juga gugur keahlian parti ialah Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun), Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Maszlee Malik (Simpang Renggam), dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Surat yang ditandatangani oleh Setiausaha Kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya itu memberitahu keahlian mereka dalam Bersatu “terhenti serta merta” kerana tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh presiden parti Muhyiddin Yassin.

Surat itu memberikan alasan bahawa pada sidang Parlimen pada 18 Mei lalu, kelima-lima mereka “telah menyertai dan duduk di blok pembangkang” di Dewan Rakyat, semasa mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Dangkal dan tidak munasabah”

Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen Bersatu itu menegaskan tempat duduk mereka di Parlimen pada 18 Mei lalu, yang tidak bersama PN, bukan satu tindakan keluar parti.

Merujuk Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Bersatu yang dijadikan asas tindakan tersebut, mereka berkata alasan itu sebagai “amat dangkal dan tidak munasabah”.

“Amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan telah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak kami di bawah  Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah,” kata mereka.

Mereka juga menegaskan tindakan Bersatu itu bertentangan dengan undang-undang dan menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan, yang dijamin sebagai prinsip kedaulatan undang-undang.

“Surat biadab”

Mengenai surat yang dikeluarkan oleh Suhaimi, mereka berkata surat itu menunjukkan urus setia Bersatu kini celaru dan tidak ditadbir dengan profesional.

Suhaimi, kata mereka, bukan orang yang diberi kuasa di bawah perlembagaan parti untuk menandatangani surat seperti itu.

” Tindakan seorang setiausaha kerja yang mengutus surat sebegini kepada yang antaranya adalah para pengasas parti Bersatu sendiri adalah sangat menjelikkan serta biadab,” kata mereka.

Dr Mahathir adalah ahli Bersatu yang pertama dan juga antara pengasas parti yang ditubuhkan empat tahun lalu pada September 2016. Mukhriz juga adalah salah seorang daripada tujuh pengasas parti.

Dalam perkembangan berkaitan, peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla berkata beliau akan membincangkan kedudukan surat makluman itu selepas bertemu dengan bekas perdana menteri esok. – 28 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen