Dr Mahathir bukan ahli Bersatu lagi, kata parti


Zaim Ibrahim

Dr Mahathir yang merupakan ahli pertama dan pengasas Bersatu dilaporkan dipecat daripada parti itu berkuat kuasa hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2020.

DR Mahathir Mohamad bukan lagi ahli Bersatu, selepas keahliannya gugur serta merta apabila beliau tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang diterajui oleh Perdana Mentri Muhyiddin Yassin, yang juga presiden parti, kata parti itu.

Dr Mahathir adalah ahli pertama Bersatu, yang juga merupakan pengasas parti yang ditubuhkan empat tahun lalu.

Selain Dr Mahathir, empat Ahli Parlimen Bersatu yang juga duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu turut gugur keahlian mereka.

Mereka ialah Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun), Ketua Sayap Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Maszlee Malik (Simpang Renggam), dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Pelucutan keahlian mereka dimaklumkan oleh Bersatu masing-masing dalam surat berasingan bertarikh hari ini, yang dilihat oleh The Malaysian Insight.

Surat kepada Dr Mahathir memetik notis beliau kepada parti pada 15 Mei lalu yang memaklumkan kedudukan kerusinya sebagai ahli Parlimen Langkawi di blok pembangkang di Dewan Rakyat.

“Dalam sidang parlimen pada 18 Mei 2020, YB (Yang Berhormat) Tun juga telah menyertai dan duduk di blok pembangkang.

“Maka dengan ini, dimaklumkan bahawa menurut Fasal 10.2.2 dan 10.2.3 Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), keahlian YB Tun dalam Bersatu adalah terhenti serta merta,” kata surat itu.

Surat kepada empat ahli Parlimen Bersatu yang lain juga memetik sama ada notis mereka kepada parti memaklumkan mengenai tempat duduk di Parlimen dan tindakan mereka duduk di blok pembangkang pada sidang 18 Mei lalu.

Fasal 10 Perlembagaan Bersatu menyebut keahlian seseorang anggota parti itu terhenti serta merta apabila beliau antara lain, mengisytiharkan keluar dari parti (10.2.2) dan menyertai atau menjadi ahli mana-mana parti di Malaysia (10.2.3).

Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen lain setakat hari ini masih ahli Bersatu.

Mereka sebaliknya membantah tindakan Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan pada 24 Februari lalu dan menjalin kerjasama politik baharu dengan Umno – parti yang ditentang oleh Bersatu sebagai antara asas perjuangan dan penubuhannya pada September 2016.

Semua surat ditandatangani oleh setiausaha kerja Bersatu, Muhammad Suhaimi Yahya.

Seorang sumber yang dekat dengan pegawai parti mengesahkan kandungan surat kepada The Malaysian Insight.

Dua minggu lalu, Dr Mahathir berkata beliau sedia dipecat dari Bersatu tetapi mengingatkan ia hendaklah dibuat mengikut proses dan perlembagaan parti.

“Saya rela disingkir tetapi dengan cara yang mengikut undang-undang parti.

“Kalau saya hendak disingkir pun, jemputlah saya (datang ke mesyuarat membincangkan pemecatan),” katanya.

Pegawai Dr Mahathir yang dihubungi oleh The Malaysian Insight memberitahu pihak mereka belum menerima surat berkenaan tetapi maklum mengenainya selepas ia tersebar melalui media sosial.

The Malaysian Insight juga difahamkan Dr Mahathir akan berbincang dengan peguamnya mengenai perkembangan terbaru ini esok.

Pada 21 Mei lalu, tiga hari selepas sidang Parlimen, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu Wan Saiful Wan Jan mencadangkan agar wakil rakyat parti yang duduk bersama pembangkang dalam persidangan itu digugurkan keahlian mereka.

Katanya, tindakan itu wajar kerana ia selaras dengan perlembagaan parti.

Sejak dua bulan lepas, Bersatu terbelah dua antara penyokong Dr Mahathir dan Muhyiddin, susulan langkah politik parti berkerjasama dengan Umno.

Bersatu sejak lebih dua bulan lalu tidak menganggap Dr Mahathir sebagai pengerusi parti selepas beliau letak jawatan pada 24 Februari lalu, pada hari yang sama beliau letak jawatan perdana menteri.

Dr Mahathir letak jawatan kerana tidak bersetuju dengan langkah Bersatu keluar Pakatan Harapan (PH) dan bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan baharu.

Surat makluman pemecatan hari ini menyusul sepucuk surat pada 19 Mei lalu yang memaklumkan kepada Dr Mahathir bahawa beliau juga bukan lagi pengerusi parti, selaras dengan dengan ketetapan pendaftar pertubuhan.

Surat itu, yang juga dilihat oleh The Malaysian Insight, memberitahu jawatan pengerusi Bersatu kini disandang oleh Muhyiddin.

Surat itu diserahkan ke pejabat Dr Mahathir pada 20 Mei lalu.

Dr Mahathir juga diberitahu bahawa keputusan MPT Bersatu menerima beliau semula selepas meletakkan jawatan pengerusi pada 24 Februari lalu tidak mempunyai asas dari segi perlembagaan parti, dan dengan itu, terbatal.

Bersatu sedang menangguhkan pemilihannya yang pertama sejak penubuhan empat tahun lalu, yang dijangka akan ditetapkan pada satu tarikh baharu selepas 30 Jun ini.

Dr Mahathir adalah satu-satunya calon yang menghantar borang bertanding jawatan pengerusi sementara Muhyiddin disahkan dicabar oleh Mukhriz untuk jawatan presiden. – 28 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen