Dr Mahathir sedia dipecat dari Bersatu


Pemecatan itu bagaimanapun mesti ikut peraturan dan perlembagaan parti, kata Dr Mahathir Mohamad. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Mei, 2020.

DR Mahathir Mohamad sedia dipecat dari Bersatu, tetapi mengingatkan tindakan itu hendaklah dibuat mengikut proses seperti yang ditetapkan dalam peraturan dan perlembagaan parti.

Dr Mahathir adalah antara pengasas Bersatu, parti yang ditubuhkan sebelum pilihan raya umum lalu, untuk menggantikan Umno. Beliau mempengerusikan parti itu sejak penubuhannya pada September 206.

“Saya rela disingkir tetapi dengan cara yang mengikut undang-undang parti.

“Kalau saya hendak disingkir pun, jemputlah saya (datang ke mesyuarat membincangkan pemecatan),” katanya dalam satu kenyataan melalui video hari ini.

Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan itu selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dipanggil pada Isnin lalu tanpa melibatkan beliau dan timbalan presiden Mukhriz Mahathir, sehingga mencetuskan spekulasi mereka hendak dipecat.

“Kalau saya dan Mukhriz tak dijemput ini bermakna bahawa mesyuarat itu salah, dari segi perlembagaan parti. Banyak sangat kesalahan yang dilakukan,” katanya.

Antara kesalahan lain, jelas beliau, mesyuarat itu dipanggil oleh Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya, yang tidak menyatakan atas arahan siapa, serta tidak menyatakan agenda mesyuarat.

Dr Mahathir mengingatkan perlembagaan Bersatu menyatakan hanya pengerusi yang boleh memanggil mesyuarat MPT, dan beliau tidak memberi arahan kepada Suhaimi untuk memanggil mesyuarat.

Beberapa jam selepas laporan media mengenai notis panggilan mesyuarat itu, Suhaimi mengeluarkan notis menangguhkan mesyuarat tanpa menyatakan sebarang alasan.

Kelmarin, beberapa ahli Bersatu mengemukakan aduan kepada lembaga disiplin parti menggesa siasatan dibuat terhadap mereka yang terlibat memanggil mesyuarat MPT yang dijadual pada Isnin lalu.

Mereka mahu sesiapa pun yang memberi arahan supaya mesyuarat itu diadakan, dikenakan tindakan kerana melanggar perlembagaan parti.

Mesyuarat itu dipanggil ketika Bersatu terbelah dua antara kem Dr Mahathir dan kem presiden Muhyiddin Yassin, berhubung soal kerjasama antara parti dengan Umno dan Pakatan Harapan. – 14 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen