Anwar jelaskan sebab tidak hadir sidang media bersama Dr Mahathir


Anwar Ibrahim semasa meninggalkan Parlimen selepas menghadiri sidang Dewan Rakyat pada Isnin kelmarin. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Mei, 2020.

SIDANG media bersama Dr Mahathir Mohamad selepas pembukaan Parlimen kelmarin bukan sidang media Pakatan Harapan (PH), kata Anwar Ibrahim, menjelaskan alasan ketidakhadirannya yang mencetuskan tanda tanya umum mengenai kerjasama politik mereka.

PH tidak membuat sidang media sebaliknya mengeluarkan kenyataan bersama, seperti yang dipersetujui dalam mesyuarat gabungan itu dengan Bersatu di bawah Dr Mahathir, dan Parti Warisan Sabah pada Ahad, kata presiden PKR.

“Ini bukan sidang media PH. Ada mesyuarat PH melalui Zoom sehari sebelumnya di mana kita putuskan pemimpin PH serta Bersatu dan Warisan akan menyediakan pendirian bersama dalam isu kerajaan Perikatan Nasional dan akan menandatangani (kenyataan),” kata Anwar, dalam sidang video melalui Facebook, hari ini.

Pendirian itu bagaimanapun tidak menghalang mana-mana parti atau ahli Parlimen untuk membuat kenyataan mereka, tambahnya.

“Ini tidak menghalang kalau DAP, Amanah, Bersatu buat sidang media masing-masing, atau mana-mana ahli Parlimen mengemukakan pandangan. Kita demokratik,” katanya.

Anwar juga memaklumkan, untuk mengelak kekeliruan selepas ini, semua sidang media dan majlis PH akan diumumkan oleh sekretariat PH, dan bukannya oleh mana-mana parti. 

Jemputan sidang media pada Isnin itu dikeluarkan oleh unit media Dr Mahathir yang menyebutnya sebagai “sidang media PH, Bersatu dan Warisan”. Ia diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, yang turut menempatkan pejabat Dr Mahathir.

Sidang media itu diadakan bagi mengulas sidang Parlimen yang hanya mendengar titah diraja tidak sampai sejam.

Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng hadir, bersama Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal dan Timbalan Presiden Bersatu, Mukhriz Mahathir.

Beberapa ahli Parlimen pembangkang juga hadir tetapi media melaporkan tiada seorang pun ahli Parlimen PKR yang hadir.

PH kini dianggotai oleh PKR, Amanah, dan DAP selepas Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa partinya keluar daripada gabungan yang menang Pilihan Raya Umum ke-14 itu.

Bersatu keluar daripada PH untuk membentuk gabungan baharu bersama Barisan Nasional, PAS dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak, yang kini mentadbir Putrajaya dengan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Tindakan Muhyiddin itu menjadi titik pertikaian yang menyebabkan Bersatu terpecah dua antara puak yang menyokongnya dan Dr Mahathir.

Dalam sidang media pada Isnin, Dr Mahathir bagaimanapun berkata Bersatu masih dalam PH dan mengulangi tindakan Muhyiddin membawa parti keluar dan bergabung dengan parti politik lain tidak sah mengikut perlembagaan partinya.

Dr Mahathir yang juga ditanya mengenai ketiadaan Anwar berkata, presiden PKR sudah menandatangani kenyataan bersama PH, Bersatu dan Warisan.

“Dia (Anwar) sudah tandatangan kenyataan bersama tetapi dia tidak dapat hadir,” katanya.

Media juga memetik Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil berkata Anwar tidak hadir kerana ada sesi wawancara dengan New York Times dan meminta pemimpin PH lain meneruskan sidang media tanpanya.

Sementara itu, Naib Presiden PKR Chang Lih Kang juga dipetik berkata ahli Parlimen PKR tidak hadir kerana lambat dimaklumkan mengenai sidang media itu. – 20 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen