'Budak Muhyiddin' letak jawatan timbalan menteri


Ahli Parlimen Sri Gading Dr Shahruddin Md Salleh meletak jawatan timbalan menteri kerja raya kerana kini sedar keputusannya menyokong Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Perikatan Nasional sebelum ini salah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Jun, 2020.

DR Shahruddin Md Salleh letak jawatan timbalan menteri kerja raya, tidak sampai 100 hari selepas memberi sokongan kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan pentadbiran Perikatan Nasional yang menggantikan Pakatan Harapan.

Ahli Parlimen Sri Gading itu adalah bekas setiausaha politik Muhyiddin antara 1998 dan 2009, serta merupakan setiausaha agung pertama Bersatu semasa penubuhannya empat tahun lalu.

Shahruddin yang sebelum ini menyifatkan dirinya “budak Muhyiddin” berkata beliau letak jawatan kerana kini sedar keputusannya menyokong perdana menteri dan PN sebelum ini salah.

“Saya telah melakukan ijtihad politik yang kurang tepat iaitu dengan menyertai kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya seharusnya meletakkan keutamaan dengan membuat pertimbangan bahawa pengundi- pengundi di Parlimen Sri Gading telah memilih parti Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14,” katanya dalam satu kenyataan yang tersebar hari ini.

“Sebagai langkah awal bagi saya membetulkan kesilapan ini, maka saya dengan ini meletak jawatan kerana saya dilantik ke jawatan ini oleh Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dari kerajaan PN,” tambahnya.

The Malaysian Insight sedang cuba mendapatkan penjelasan Shahruddin. Beberapa sumber yang dekat dengan beliau sementara itu mengesahkan kenyataan tersebut.

Shahruddin difahamkan akan mengeluarkan satu kenyataan bertandatangan dalam masa terdekat. 

Peletakan jawatan Shahruddin ini menamatkan teka teki mengenai kedudukannya yang sudah dihebohkan sejak Jumaat lalu akan letak jawatan kerajaan dan tidak lagi menyokong PN.

Ketika itu beliau dilaporkan akan membuat sidang media bersama seorang lagi pemimpin Bersatu iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mohd Redzuan Md Yusof. Redzuan bagaimanapun menafikan desas-desus itu.

Peletakan jawatan Shahruddin menjadikan PN kini kurang satu lagi kerusi di Dewan Rakyat, menjadikan hanya mempunyai 112 kerusi. 

Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil dalam satu ciapan di Twitter menulis tanda pagar #WeWillBeBack, yang membayangkan keyakinan PH akan kembali ke Putrajaya.

Dua hari lalu, Shahruddin menjelaskan kedudukannya dalam Bersatu dan sudah membayangkan akan mengambil langkah yang diumumnya hari ini.

Shahruddin adalah wakil rakyat tunggal Bersatu dalam Dewan Undangan Negeri Johor pada penggal lalu, selepas penubuhan parti itu pada September 2016. 

Ketika itu, beliau keluar Umno selepas Muhyiddin dipecat dari parti kerana lantang mengkritik skandal 1Malaysian Development Berhad. Jawatan akhirnya ialah naib ketua Umno Bahagian Pagoh, yang ketuanya ialah Muhyiddin.

Apabila Dr Mahathir dan Muhyiddin serta beberapa yang lain menubuhkan Bersatu, Shahruddin menjadi setiausaha agung pertama parti.

Bersatu kini terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar dari PH dan membentuk gabungan baharu bersama Umno dan parti-parti lain atas nama PN.

Dr Mahathir dan kumpulannya mendakwa tindakan itu tidak mendapat mandat parti. Mereka juga sudah merujuk bantahan itu kepada pendaftar pertubuhan.

Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dijadual bermesyuarat malam ini, dipercaya antara lain membincangkan penyatuan parti dengan Umno. – 4 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen