Shahruddin jelaskan hala tujunya dengan Bersatu


Shahruddin Md Salleh bersedia letak jawatan daripada pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menumpukan perhatian kepada usaha mengukuhkan Bersatu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2020.

SHAHRUDDIN Md Salleh sedia letak jawatan timbalan menteri kerja raya dan kembali menyokong Pakatan Harapan (PH) kalau langkah itu dapat mengukuhkan Bersatu, yang kini terpecah berhubung kerjasama politik parti itu dengan gabungan baharu Perikatan Nasional (PN) akhir Februari lalu.

Katanya, beliau sedia letak jawatan daripada pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin untuk menumpukan perhatian kepada usaha mengukuhkan Bersatu.

“Andai kata saya perlu letak jawatan sebagai timbalan menteri kerja raya, saya akan letak jawatan, demi memperkukuhkan Bersatu, supaya masa sepenuhnya dapat saya tumpukan pada Bersatu. 

“Andaikata saya perlu meninggalkan PN dan kembali kepada PH dan di situ ada jaminan bahawa Bersatu akan kuat dan terus hidup, maka saya juga sedia lakukan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan melalui laman Facebook sayap Pemuda Bersatu.

Shahruddin mengeluarkan kenyataan itu untuk menjelaskan “azam dan hala tuju” beliau dalam Bersatu dan kerajaan, ketika ada desas-desus beliau akan menarik sokongan terhadap PN untuk bersama Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, sebagai “budak Muhyiddin” beliau gembira presiden Bersatu itu jadi perdana menteri namun menjelaskan kedudukan Bersatu sebagai parti lebih utama.

“Saya nak lihat Bersatu kuat dan kukuh. Sayang saya pada Bersatu mengatasi sayang saya pada Tun dan Tan Sri (Muhyiddin).

“Barang dijauhkan sekali parti Bersatu dilihat sebagai melukut di tepi gantang dan ahli-ahli awal yang tulen dalam perjuangan pula dipingggirkan,” katanya, yang juga bekas setiausaha agung pertama parti.

Kepada ahli Bersatu, beliau yang juga ahli Parlimen Sri Gading bertanya apakah masa depan parti itu lebih baik bersama PN atau PH.

Beliau memberikan contoh kedudukan kerusi Parlimen Sri Gading dan bertanya antara PN dan PH, siapa yang akan memberi laluan kepada Bersatu bertanding kerusi itu pada pilihan raya akan datang.

“Itu juga adalah jawapan kepada satu soalan paling pokok. Lebih selamatkah Bersatu dalam PN atau dalam PH? Saudara jawab!!!”

Pada Jumaat lalu, Shahruddin dan seorang lagi menteri Bersatu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Redzuan Md Yusof dilapor akan mengadakan sidang media, dipercayai untuk mengumumkan peletakan jawatan serta pendirian politik mereka.

Redzuan kemudian menafikan dakwaan beliau akan meninggalkan PN sebaliknya menggesa semua pihak menyokong pentadbiran Muhyiddin yang kini bergelut menangani ancaman Covid-19 dan kesan penularannya.

Shahruddin juga dilihat berjumpa dengan Dr Mahathir di ibu pejabat Bersatu pada hari itu, sehari selepas parti mengeluarkan surat “memecat” bekas perdana menteri dari parti bersama empat ahli Parlimen parti yang lain.

Semalam, Shahruddin menjelaskan pertemuannya dengan Dr Mahathir adalah pertemuan biasa antara ahli dan pengasas parti.

“Baguslah tu, jumpa pengasas, pejuang, bapa dan negarawan. 

“Kami sama-sama susah, berkempen ketika lawan Barisan Nasional (BN) dulu,” katanya seperti dipetik Harian Metro.

Dalam kenyataannya, Shahruddin menjelaskan beliau berjumpa bekas perdana menteri susulan pendirian parti bahawa keahlian Dr Mahathir sebagai ahli Bersatu sudah terlucut serta merta, atas perbuatannya sendiri kerana duduk di blok pembangkang di Dewan Rakyat.

Namun Shahruddin bertanya, dengan kedudukan PN yang belum berdaftar, sebaliknya hanya gabungan ahli Parlimen yang setuju Muhyiddin sebagai perdana menteri, adakah keahlian Dr Mahathir terlucut kerana tidak menyokong perdana menteri.

“Bolehkah ditafsir Tun masuk pembangkang, sokong parti pembangkang?” tanyanya.

Shahruddin menjelaskan beliau menyokong PN dan Muhyiddin sebagai perdana menteri kerana presiden Bersatu itu mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Sebagai ‘budak’ Muhyiddin pastinya saya amat gembira apabila beliau menjadi PM,” katanya, yang pernah berkhidmat dengan Muhyiddin sebagai setiausaha politik antara 1998 hingga 2009.

Namun dalam kenyataannya, Shahruddin berkata pada hemat beliau, Bersatu “mati” tanpa Dr Mahathir atau Muhyiddin.

Shahruddin adalah wakil rakyat tunggal Bersatu dalam Dewan Undangan Negeri Johor pada penggal lalu, selepas penubuhan parti itu pada September 2016. 

Ketika itu, beliau keluar Umno selepas Muhyiddin dipecat dari parti kerana lantang mengkritik skandal 1Malaysian Development Berhad. Jawatan akhirnya ialah naib ketua Umno Bahagian Pagoh, yang ketuanya ialah Muhyiddin.

Apabila Dr Mahathir dan Muhyiddin serta beberapa yang lain menubuhkan Bersatu, Shahruddin menjadi setiausaha agung pertama parti. – 2 Jun 2020.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen