Bersatu mungkin kalah PRU15, kata kaji selidik


Chan Kok Leong

Bersatu mungkin kalah dalam pilihan raya mengejut kecuali jika ia mengadakan pakatan pilihan raya bersama Umno dan PAS, kata Pengarah Eksekutif Merdeka Centre Ibrahim Suffian. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2020.

BERSATU berdepan kekalahan dalam pilihan raya mengejut kecuali jika ia bertindak mengadakan pakatan pilihan raya bersama Umno dan PAS, kata Ibrahim Suffian.

“Kekuatannya terhad dan tiada pengundi bukan Melayu yang akan mengundi mereka. Jumlah pengundi Melayu yang akan menyokong mereka juga terhad,” kata pengarah eksekutif Merdeka Centre itu pada forum secara maya, semalam.

Ibrahim antara panel pada forum anjuran Yusof Ishak Institk ute (ISEAS) bertajuk “Gabungan, Covid-19 dan Perubahan di Malaysia”.

Beliau berkata walaupun kemungkinan pilihan raya mengejut diadakan amat nyata, sukar untuk Bersatu menang kecuali jika bekerjasama dengan Umnod an PAS.

Ibrahim berkata Umno dan PAS mempunyai peluang lebih cerah dalam pilihan raya kerana boleh memperoleh sehingga 80% undi Melayu.

“Pada pilihan raya lalu, dua parti itu mendapat 78% undi Melayu. Pilihan raya kecil tahun lalu menunjukkan mereka boleh mengekalkan tahap sokongan itu,” katanya.

Katanya, walaupun Bersatu akan mahu mengekalkan sekurang-kurangnya 30 kerusi, persoalannya ialah adakah Umno dan PAS akan memberikan kerusi mereka kepada sebuah parti serpihan.

“Perlu diingat semua tiga parti itu bertanding di kerusi Melayu. Pas dan Umno mungkin boleh mencapai kata sepakat tetapi adakah mereka akan beri laluan kepada Bersatu?”

Ibrahim berkata demikian ketika menjawab soalan tentang sama ada Malaysia akan berdepan pilihan raya mengejut tidak lama lagi susulan keadaan politik yang tidak ketentuan.

“Majoriti nipis yang Perikatan Nasional (PN) ada iaitu 114 kerusi tidak memberikan keyakinan. Jika keadaan ini berterusan, kerajaan tidak dapat membawa rang undang-undang dan istana akan terpaksa melangkah kepada pilihan raya dengan membubarkan Parlimen.”

PN dianggarkan mempunyai 114 daripada 222 ahli Parlimen yang menyokong kerajaan. Tetapi kejadian baru-baru ini menggemparkan kerajaan baharu.

Timbalan menteri kerja raya Shaharuddin Salleh daripada Bersatu meletak jawatan daripada Kabinet Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, minggu ini.

Seorang lagi menteri dikhabarkan akan meletak jawatan tidak lama lagi, mengurangkan lagi majoriti PN.

Pada pilihan raya umum lalu, Pakatan Harapan (PH) menang 113 kerusi sebelum ditambah dengan sokongan daripada Parti Warisan Sabah. Sebelum Muhyiddin membawa Bersatu keluar PH, gabungan itu mempunyai 139 ahli Parlimen. – 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen