Majoriti rakyat Malaysia puas hati cara kerajaan tangani Covid-19


Chan Kok Leong

Dua wanita kelihatan memakai topeng pelitup muka ketika menunggu pengangkutan awam di Kuala Lumpur. Ekonomi Malaysia mula dibuka semula dalam tempoh PKPB sejak awal Mei lalu selepas ditutup hampir semua sektor akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Jun, 2020.

MAJORITI rakyat Malaysia yang ditemui dalam satu kaji selidik didapati berpuas hati dengan cara kerajaan mengendalikan pandemik Covid-19.

Kaji selidik yang dijalankan pada Februari dan Mac oleh Merdeka Centre itu menunjukkan 70% daripada mereka yang ditemubual berpendapat Putrajaya bertindak sewajarnya terhadap situasi Covid-19.

Sebanyak 25% berpendapat kerajaan boleh melakukan lebih lagi sementara hanya 3% berasakan kerajaan bertindak berlebihan terhadap pandemik Covid-19, kata Pengarah Eksekutif Merdeka Centre Ibrahim Suffian.

Ibrahim berkata demikian pada satu forum secara maya yang dianjurkan oleh Yusof Ishak Institute (ISEAS) bertajuk “Gabungan, Covid-19 dan Perubahan di Malaysia”, semalam.

Beliau berkata kaji selidik itu juga menunjukkan 91% rakyat Malaysia bimbang tentang pandemik itu.

“Keputusan kaji selidik itu selaras dengan peratusan tinggi (94%) pematuhan sepanjang perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Taklimat harian kerajaan membantu dalam penarafan tinggi terhadap kerajaan dan kemampuan Kementerian Kesihatan Malaysia,” kata Ibrahim.

Kaji selidik Merdeka Centre juga menunjukkan rakyat berpuas hati terhadap cara kerajaan mengendalikan pandemik itu dengan peningkatan 18 mata kepada 79% pada Mac ketika PKP bermula, berbanding 61% pada Februari.

Tahap puas hati  rakyat terhadap KKM ialah 86% berbanding terhadap kerajaan (79%). Masyarakat umum kurang berpuas hati dengan Menteri Kesihatan Dr Adham Baba (61%).

“Saya fikir sebahagiannya kerana komen yang salah seperti membunuh Covid-19 dengan minum air suam,” kata Ibrahim.

Badan kaji selidik itu berkata kebimbangan terbesar terhadap Covid-19 ialah ekonomi.

“Ketika kaji selidik dijalankan, kami dapati majoriti pekerja B40 tidak dapat bekerja dari rumah, sementara hanya sebahagian M40 dapat berbuat demikian.

“Kesan ekonomi daripada PKP akan lebih dirasai kemudiannya,” katanya.

Menurut kaji selidik itu, 67% berkata mereka ada simpanan mencukupi untuk dua minggu, dengan 42% berkata simpanan mereka cukup untuk sebulan. Hanya 27% berkata mereka ada simpanan yang cukup untuk dua bulan.

“Bila kita mulakan kaji selidik itu, kami sangka PKP hanya untuk dua minggu. Sekarang sudah lebih 10 minggu, dan kesan akan ekonomi akan bertambah teruk,” kata Ibrahim.

Kaji selidik itu menunjukkan hanya 22% berkata mereka tidak ada simpanan untuk dua minggu, dengan 37% dan 53% berkata yang sama ketika ditanya sama ada mereka mempunyai simpanan mencukupi untuk sebulan dan dua bulan.

“Satu lagi kebimbangan sudah tentu tentang bila moratorium pinjaman bank akan berakhir. Pada waktu itu nanti, kita mungkin dapat melihat betapa teruknya kesan ekonomi,” kata Ibrahim.

Malaysia merekodkan 8,266 kes jangkitan Covid-19 dengan 116 kematian. – 6 Jun, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen