Kemelut Bersatu jadi perang terbuka penyokong Dr Mahathir, Muhyiddin


Kemelut antara Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad dan Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin mencetuskan "perang terbuka" antara penyokong kedua-dua pemimpin itu.– Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Mei, 2020.

KEMELUT kepimpinan Bersatu kini jadi “perang terbuka” antara dua puak yang menyokong pengerusi Dr Mahathir Mohamad dan presiden Muhyiddin Yassin, selepas masing-masing cuba mempertahan dan menyanggah tindakan parti berhubung kerjasama dengan Umno, dan pelbagai isu rentetan daripadanya.

Exco sayap Pemuda Bersatu Abu Hafiz Salleh Hudin malam tadi mengkritik ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan yang katanya cuba jadi juara isu dan jurucakap rasmi parti, berhubung “pemecatan” Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen parti semalam.

“Barangkali beliau cuba menjuarai isu ini dengan berusaha memperlihatkan keintelektualannya sebagai aset yang harus dihargai oleh Tan Sri Muhyiddin, presiden Bersatu  bagi mendapat tempat yang lebih selesa mungkin,” katanya dalam satu tulisan di Facebook.

Beliau juga menyifatkan Wan Saiful “terlalu ghairah” dalam isu ini dan  mahu Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen itu diusir keluar dari parti kononnya atas kepentingan disiplin parti, tambahnya.

Minggu lalu, Wan Saiful mencadangkan agar Bersatu melucutkan keahlian ahli Parlimen parti yang duduk bersama pembangkang di Dewan Rakyat, demi mempertahankan disiplin parti.

Dalam mempertahankan Dr Mahathir dan empat yang lain, Abu Hafiz malah mencadangkan jalan keluar kepada Wan Saiful.

“Melihat kepada gelagat saudara Wan Saiful, mungkin sudah sampai masanya untuk beliau kembali bersama dengan parti lamanya, PAS,” katanya.

Wan Saiful adalah ahli PAS seumur hidup sejak 1997 sebelum menyertai Bersatu pada Mac 2018, dua bulan sebelum pilihan raya umum ke-14.

Beliau yang meninggalkan kumpulan pemikir yang diasasnya Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) untuk menyertai politik bertanding kerusi Parlimen Pendang tetapi kalah.

Semalam, Wan Saiful berkata tindakan ke atas Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen itu bukan “pemecatan” sebaliknya tindakan mereka sendiri yang menyebabkan keahlian mereka sebagai ahli parti terbatal.

“Apabila seseorang itu dengan sendiri berjalan keluar dari rumah, dia bukan dikeluarkan dari rumah itu. Tetapi tindakan dia sendiri menyebabkan secara automatik dia berada di luar rumah.

“Itulah yang berlaku dalam kes ini,” kata Wan Saiful, memberikan analogi mengenai kedudukan Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen itu.

Semalam, Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya mengeluarkan surat kepada Dr Mahathir, yang juga Ahli Parlimen Langkawi, serta empat yang lain memaklumkan bahawa mereka bukan lagi ahli parti berkuat kuasa serta merta.

Empat ahli Parlimen Bersatu yang juga gugur keahlian parti ialah timbalan presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun), ketua sayap pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), ahli Majlis Pimpinan Tertinggi, Maszlee Malik (Simpang Renggam), dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Suhaimi memberitahu keahlian mereka dalam Bersatu “terhenti serta merta” kerana tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Muhyiddin, dan duduk di blok pembangkang semasa sidang Parlimen pada 18 Mei lalu.

Kelima-lima mereka menolak tindakan itu yang dianggap bertentangan dengan proses dan perlembagaan parti.

Peguam Dr Mahathir, Haniff Khatri Abdulla juga berkata surat yang dikeluarkan oleh Suhaimi tidak sah dan tidak terpakai. – 29 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen