SURAT pemecatan keahlian Dr Mahathir Mohamad dan empat lagi ahli Parlimen Bersatu tidak sah kerana ditandatangani oleh individu yang tiada kuasa berbuat demikian, kata peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla.
Menurutnya, jawatan yang dipegang Setiausaha Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya tidak diiktiraf ataupun ditakrifkan dalam perlembagaan parti.
Beliau turut menambah sebagai setiausaha kerja Suhaimi tiada kuasa eksekutif untuk membuat apa-apa keputusan ataupun takrifan mahupun urusan berhubung perlembagaan parti Bersatu secara peribadi, seperti yang dilakukannya melalui surat pemberhentian kepada Dr Mahathir dan empat yang lain.
“Suhaimi sebagai setiausaha kerja Bersatu juga telah gagal ataupun enggan mahupun cuai dalam tidak menyatakan secara jelas fakta bahawa surat ‘pemberhentian’ ahli bertarikh 28 Mei itu ditandatangani dan dikeluarkan olehnya atas arahan siapa, dan sama ada pihak yang mengarahkan itu sememangnya mempunyai kuasa untuk memberi arahan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Peguam Dr Mahathir itu berkata Suhaimi telah menyalahgunakan peruntukan perlembagaan Bersatu dalam surat pemecatan tersebut.
“Perlu ditekankan bahawa setakat pada hari ini, surat ‘pemberhentian’ ahli itu tidak langsung menjejaskan keahlian mahupun jawatan yang dipegang kesemua lima mereka yang berkenaan, sama sekali.”
Haniff juga berkata beliau akan berbincang dengan Dr Mahathir dan yang lain mengenai tindakan undang-undang yang akan diambil dalam masa terdekat.
Selain Dr Mahathir, empat Ahli Parlimen Bersatu yang juga digugur keahlian parti ialah Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun), Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Maszlee Malik (Simpang Renggam), dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).
Dalam suratnya, Suhaimi memberitahu keahlian mereka dalam Bersatu “terhenti serta merta” kerana tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden parti.
Surat itu memberikan alasan bahawa pada sidang Parlimen pada 18 Mei lalu, kelima-lima mereka “telah menyertai dan duduk di blok pembangkang” di Dewan Rakyat, semasa mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.
Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen berkenaan menolak tindakan tersebut yang dianggap bertentangan dengan proses dan perlembagaan parti.
Dalam satu kenyataan bersama malam tadi, mereka menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang mencabar apa yang mereka sifatkan sebagai “pemecatan salah”, yang bukan saja melanggar tatacara tetapi dibuat secara “jelik dan biadab”.
“Kami tidak menerima pemecatan salah ini yang jelas bertentangan dengan undang-undang dan merizabkan hak untuk mengambil tindakan undang-undang yang berkaitan bukan sahaja untuk diri kami tetapi untuk memastikan kemaslahatan ahli-ahli akar umbi Bersatu.
“Amat dangkal dan tidak munasabah untuk kami dikatakan telah keluar parti sedangkan kami hanya melaksanakan apa yang dibenarkan oleh undang-undang dan hak kami di bawah Perlembagaan Persekutuan selaku Ahli Parlimen yang sah,” kata mereka.
Mereka juga menegaskan tindakan Bersatu itu bertentangan dengan undang-undang dan menafikan hak mereka untuk membela diri dan memberi penjelasan, yang dijamin sebagai prinsip kedaulatan undang-undang.
Beberapa jam selepas mengeluarkan surat “pemecatan keahlian” ke atas Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli Parlimen Bersatu itu, Setiausaha Agung Bersatu Marzuki Yahya pula memecat Suhaimi.
Dalam suratnya kepada Suhaimi, Marzuki berkata setiausaha kerja parti itu dipecat kerana mengeluarkan surat pemecatan tanpa mengikut proses.
Marzuki terus menjalankan tugas sebagai setiausaha agung parti yang sah walaupun digantikan oleh Hamzah Zainuddin pada pertengahan Mac lalu.
Hamzah diketahui mendukung presiden parti iaitu Muhyiddin, sementara Marzuki memihak kepada Dr Mahathir, ketika Bersatu terpecah dua ekoran kerjasama politik dengan Umno untuk membentuk kerajaan baharu di Putrajaya, hampir tiga bulan lepas. – 29 Mei, 2020.
Komen