Marzuki Yahya pula pecat setiausaha kerja Bersatu 


Marzuki Yahya memecat Setiausaha Kerja Bersatu Marzuki Yahya malam ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 28 Mei, 2020.

SETIAUSAHA Kerja Bersatu Muhammad Suhaimi Yahya dipecat dari jawatannya, beberapa jam selepas mengeluarkan surat “pemecatan keahlian” ke atas Pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad dan empat ahli Parlimen Bersatu.

Suhaimi bagaimanapun dipecat oleh Marzuki Yahya, yang terus menjalankan tugas sebagai setiausaha agung parti yang sah walaupun digantikan oleh Hamzah Zainuddin pada pertengahan Mac lalu.

Hamzah diketahui mendukung Presiden Muhyiddin Yassin, sementara Marzuki memihak kepada Dr Mahathir, ketika Bersatu terpecah dua ekoran kerjasama politik dengan Umno untuk membentuk kerajaan baharu di Putrajaya, hampir tiga bulan lepas.

Dalam suratnya kepada Suhaimi, Marzuki berkata setiausaha kerja parti itu dipecat kerana mengeluarkan surat pemecatan keahlian terhadap Dr Mahathir dan empat ahli Parlimen Bersatu tanpa mengikut proses.

“Dengan ini dimaklumkan bahawa tuan… dipecat dari menjawat jawatan sebagai setiausaha kerja Bersatu berkuat kuasa serta merta,” kata Marzuki dalam suratnya yang diedarkan kepada media, malam ini.

Menurut Marzuki, Suhaimi mengambil tindakan itu di luar pengetahuannya dan dengan tidak merujuk kepadanya terlebih dahulu sebagai ketua pentadbir ibu pejabat parti dan setiausaha agung Bersatu yang sah.

Marzuki merujuk Fasal 8 dan Fasal 16.6 yang menggariskan tugas setiausaha agung, yang antara lain, menguruskan soal keahlian parti.

Lewat petang tadi, Suhaimi mengeluarkan surat kepada Dr Mahathir serta empat yang lain memaklumkan bahawa berkuat kuasa serta merta hari ini, mereka bukan lagi ahli parti.

Empat Ahli Parlimen Bersatu yang juga gugur keahlian parti ialah Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir (Jerlun), Ketua Pemuda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Maszlee Malik (Simpang Renggam), dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu).

Dalam suratnya, Suhaimi memberitahu keahlian mereka dalam Bersatu “terhenti serta merta” kerana tidak menyokong kerajaan Perikatan Nasional yang diterajui oleh Muhyiddin.

Surat itu memberikan alasan bahawa pada sidang Parlimen pada 18 Mei lalu, kelima-lima mereka “telah menyertai dan duduk di blok pembangkang” di Dewan Rakyat, semasa mendengar titah diraja oleh Yang di-Pertuan Agong.

Dr Mahathir dan empat yang lain itu menolak tindakan tersebut yang dianggap bertentangan dengan proses dan perlembagaan parti.

Dalam satu kenyataan bersama malam ini, mereka menegaskan akan mengambil tindakan undang-undang mencabar apa yang mereka sifatkan sebagai “pemecatan salah”, yang bukan saja melanggar tatacara tetapi dibuat secara “jelik dan biadab”.

Ini adalah kali kedua Marzuki membuat tindakan sebagai setiausaha agung Bersatu walaupun diumumkan oleh Presiden Muhyiddin Yassin sudah dipecat pada Mac lalu.

Pada 8 Mei, beliau mengeluarkan satu kenyataan menafikan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu ada membuat keputusan untuk keluar dari Pakatan Harapan dan tidak pernah juga menamakan Muhyiddin sebagai calon perdana menteri.

Bersatu terbelah dua selepas Muhyiddin membawa parti keluar dari Pakatan Harapan dan Dr Mahathir tidak merestui tindakan itu.

Bersatu kini membentuk gabungan atas nama Perikatan Nasional bersama Umno dan Barisan Nasional (BN), serta PAS, dan disokong oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS) serta parti-parti kecil di Sabah. – 28 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen