AHLI Parlimen Bersatu yang duduk di blok pembangkang semasa sidang Dewan Rakyat pada Isnin lalu perlu digugurkan keahlian mereka serta-merta, kata Wan Saiful Wan Jan.
Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu itu berkata perkara tersebut terkandung dalam perlembagaan parti.
“Setiap parti ada disiplinnya dan semua ahli perlu hormat disiplin parti. Dalam perlembagaan Bersatu, menyertai kelompok pembangkang adalah satu perkara yang menyebabkan keahlian seseorang gugur dengan sendirinya.
“Bukan tindakan disiplin, tetapi gugur dengan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Wan Saiful berkata kepimpinan Bersatu perlu segera menyemak status keahlian ahli-ahli Parlimen berkenaan tanpa pilih kasih atau “fear or favour”.
Tambah beliau, parti tidak tidak boleh bertolak ansur dengan kewujudan kasta elit yang terang-terangan menolak disiplin parti.
“Sepatutnya janganlah sombong merasakan lebih tinggi dari yang lain sehingga duduk dengan blok parti (kerajaan) sendiri pun tidak sudi,” katanya.
Wan Saiful juga mengingatkan tindakan pemimpin yang hanya memikirkan diri sendiri tanpa mempedulikan kesan tindakan mereka ke atas persepsi rakyat akan merosakkan parti.
Isnin lalu, Dr Mahathir Mohamad bersama empat ahli Parlimen Bersatu yang menyokongnya; Mukhriz Mahathir (Jerlun), Maszlee Malik (Simpang Renggam), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar) dan Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) duduk bersama pembangkang yang diketuai Pakatan Harapan pada sidang Dewan Rakyat. – 21 Mei, 2020.
Komen