WALAU pemilihan parti ditangguhkan, kempen antara dua kem dalam Bersatu yang masing-masing setia pada pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad dan presidennya Muhyiddin Yassin tetap hangat.
Penyokong kedua-dua kem kini saling bertegang urat di media melalui kenyataan demi kenyataan dan juga cuba menonjolkan kekuatan melalui bilangan sokongan ahli.
Ia bermula dengan saranan Timbalan Presiden Mukhriz Mahathir supaya parti itu kembali kepada Pakatan Harapan (PH) selepas Muhyiddin mula diasak pemimpin parti kerajaan.
Mukhriz yang juga mencabar Muhyiddin bagi jawatan presiden Bersatu mengasak perdana menteri itu menjelaskan kedudukan parti dalam Perikatan Nasional (PN) ekoran pendirian Umno yang tidak mahu membuat perjanjian yang mengikat dalam gabungan itu.
Mukhriz menuntut demikian kerana melihat Muhyiddin gagal menunaikan janji Februari lalu sewaktu meyakinkan pemimpin parti itu untuk membawa keluar Bersatu daripada PH.
Menurut pemimpin Pemuda Bersatu, mereka berbeza pendapat apabila pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad muncul dalam satu mesyuarat pada 6 Mei.
Dalam mesyuarat itu, bekas perdana menteri itu mengulangi pendirian menolak kerjasama dengan Umno, kata Ketua Penerangan Armada Ulya Husamudin.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight, itu menyebabkan kalangan 21 pemimpin Pemuda Bersatu yang hadir daripada 31 jemputan itu membuat pendirian berbeza-beza selepas itu.
“Kita ada dua mesyuarat. Sesi pertama mengenai agihan bantuan ketika wabak Covid-19. Kemudian Dr Mahathir masuk pula dan menyatakan pendirian beliau untuk tidak bekerjasama dengan Umno.”
Ulya yang turut menyertai mesyuarat itu mendedahkan, 17 ahli menyokong manakala empat daripadanya menolak pendirian Dr Mahathir dalam mesyuarat 6 Mei itu.
Pada hari sama ketua sayap sayap Pemuda Bersatu, Armada Nasional mengumumkan menolak kerjasama dengan Umno dan menyokong usaha membawa parti kembali bersama PH.
Ia kemudiannya ditolak seorang pemimpin exco, Muzammil Ismail, yang merupakan pencabar Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Abdul Rahman untuk jawatan itu.
Dalam satu kenyataan bersama 144 ketua bahagian dan negeri Pemuda Bersatu, Muzammil tetap berpegang pada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi parti pada 23 Februari lalu untuk keluar daripada PH.
Serangan itu bagaimanapun ditangkis Ulya yang berkata, beberapa nama dalam senarai tersebut sebenarnya tidak menyokong pendirian berkenaan.
Beliau menamakan Ketua Pemuda Bersatu Sarawak Alexander Frusis dan Mohamad Hanifah Abu Baker, ketua Pemuda Bersatu Rasah sebagai antara yang tidak menyokong.
Ketua sayap itu di Permatang Pauh, Izhar Shah Arif Shah juga memberitahu The Malaysian Insight namanya disebut tanpa kebenaran, namun pada masa tidak setuju Pemuda Bersatu bersama PH.
Mengulas perkara itu, Ulya berkata perbezaan sikap ditunjukkan Muzammil dan kumpulan itu sememangnya berkait dengan pemilihan yang bakal berlangsung semula.
“Ya, ini kerana pemilihan juga,” katanya.
Ulya turut mempersoalkan sikap Muzammil yang menentang pendirian Dr Mahathir sedangkan pemimpin Pemuda itu tidak hadir mesyuarat.
“Muzzamil sendiri pada asalnya beri nama untuk hadir mesyuarat semalam tapi dia tak datang. Kemudian beliau keluarkan kenyataan, kalau semak beberapa nama itu ada disalah gunakan.”
Seorang ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman bagaimanapun menyokong tindakan Muzammil yang menurutnya membawa suara akar umbi.
Beliau juga tidak hadir kerana berpendapat Syed Saddiq mengambil peluang politik untuk mempergunakan mesyuarat tersebut sebagai kempen antikerajaan, katanya.
“Saya tidak hadir mesyuarat Armada Pusat itu kerana telah dapat menjangka ia akan dijadikan medan untuk mengeluarkan kenyataan antikerajaan PN kerana kehadiran Dr Mahathir di situ.
Jelasnya, mesyuarat tersebut pada asalnya dipanggil melalui sebaran di kumpulan WhatsApp Armada Pusat dengan agenda bantuan kebajikan namun dipolitikkan dengan kemunculan Dr Mahathir.
“Ketua Armada mengambil kesempatan politik atas pertemuan dengan Tun untuk mengeluarkan kenyataan yang langsung tidak menepati aspirasi majoriti pemimpin dan ahli Armada seluruh negara yang menyokong kepimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” katanya.
Beliau juga berpendapat perkara itu berlaku kerana kehangatan pemilihan parti dan sidang Dewan Rakyat 18 Mei nanti.
“Ia susulan kepada serangan pertama yang telah dimulakan oleh Timbalan Presiden Mukhriz ke atas Muhyiddin beberapa hari lalu di media,” katanya.
Pemimpin yang mempersoalkan isu kerjasama dengan Umno itu kini berdepan tindakan disiplin termasuk dipecat keahlian, seperti amaran dikeluarkan Ketua Penerangan Bersatu Mohd Radzi Md Jidin.
Persidangan serentak 189 bahagian yang dijadualkan pada 18 April lalu bagi memilih ahli Majlis Pimpinan Tertinggi itu masih ditangguhkan berikutan penularan Covid-19.
Jawatankuasa Pemilihan Parti mengumumkan keputusan itu susulan arahan Pendaftar Pertubuhan yang melarang parti atau pertubuhan mengadakan perhimpunan sehingga 30 Jun.
Dr Mahathir sudahpun menang tanpa bertanding dan Muhyiddin akan berdepan cabaran daripada Mukhriz untuk mempertahankan jawatan presiden parti.
Setiausaha Agung Bersatu, Marzuki Yahya dan Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu pula bertanding satu lawan satu untuk jawatan timbalan presiden Bersatu.
Seorang lagi pencabar Syed Saddiq bagi jawatan ketua Pemuda Bersatu ialah Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal. – 10 Mei 2020.
Komen