Tiga perempat sayap Bersatu tolak keputusan bersama Pakatan


Sebahagian ketua Armada menolak ketetapan sayap Pemuda Bersatu pusat yang tidak menerima kerjasama parti dengan Umno dalam Perikatan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2020.

MAJORITI ketua sayap Pemuda Bersatu (Armada) di bahagian mempertahankan kedudukan parti menyokong Umno dan bersama Perikatan Nasional (PN), ketika pimpinan pusat sayap semalam membuat ketetapan bertentangan setuju dengan usaha membawa parti kembali ke pangkuan Pakatan Harapan.

Exco Pemuda Bersatu Muzammil Ismail dalam satu kenyataan bersama 144 ketua Armada menolak ketetapan sayap Pemuda Bersatu pusat yang tidak menerima kerjasama parti dengan Umno dalam PN.

Mereka sebaliknya berpegang pada keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi parti pada 23 Februari lalu untuk keluar dari PH.

“Keputusan ini kekal sehingga terdapat keputusan MPT terbaru,” kata mereka dalam satu kenyataan hari ini.

The Malaysian Insight bagaimanapun tidak dapat mengesahkan pendirian setiap seorang yang disenaraikan dalam kenyataan bersama tersebut.

Semalam, sayap Pemuda Bersatu mengumumkan keputusan menolak kerjasama dengan Umno sebaliknya menyokong usaha membawa parti kembali untuk bersama Pakatan Harapan.

Keputusan itu berdasarkan undian semasa perjumpaan dengan Dr Mahathir yang dipersetujui oleh lebih dua pertiga ahli mesyuarat dan selebihnya berkecuali tanpa ada yang menolak, kata Pemuda Bersatu.

Ia muncul selepas timbalan presiden parti Mukhriz Mahathir membuat satu kenyataan terbuka meminta presiden Muhyiddin Yassin menjelaskan kedudukan parti dalam kerjasama dengan Umno dan PAS.

Mukhriz berpandangan lebih baik Bersatu bersama Pakatan daripada dipermain-mainkan oleh Umno dalam Perikatan Nasional.

Bersatu kini terbelah dua selepas Muhyiddin menarik parti keluar dari Pakatan pada hujung Februari lalu sehingga membawa kepada peralihan kuasa di Putrajaya dan tiga negeri.

Satu kelompok menyokong Dr Mahathir sementara satu kumpulan lagi mendukung Muhyiddin, yang kini perdana menteri.

Dr Mahathir sudah terpilih semula sebagai pengerusi parti sementara Muhyiddin dicabar oleh timbalannya Mukhriz Mahathir untuk jawatan presiden.

Dalam kenyataan bersama mereka, Muzammil dan 144 ketua bahagian itu mendakwa keputusan Armada yang diumumkan semalam tidak dibincangkan dengan pemimpin sayap di bahagian.

“Apakah Armada ini parti dalam parti? Adakah Armada sesuka hati membuat keputusan dasar untuk parti?,” tanya mereka.

Selain mereka yang disenaraikan dalam kenyataan bersama tersebut, sekurang-kurangnya empat sayap Pemuda Bersatu negeri iaitu Perak, Selangor, Terengganu, dan Sabah turut menolak keputusan semalam, yang diumumkan selepas pertemuan dengan Dr Mahathir.

Seorang exco Pemuda Bersatu di peringkat pusat juga membantah keputusan dan menyifatkan pertemuan dengan Dr Mahathir itu “langkah terdesak dan tidak bertanggungjawab.”

Pertembungan dalam sayap Pemuda Bersatu ini berlaku ketika parti dilihat berdepan krisis dengan Umno yang beberapa kali menegaskan tidak mengiktiraf kerjasama dalam Perikatan Nasional sebagai gabungan politik untuk pilihan raya umum akan datang.

Beberapa pemimpin Umno termasuk timbalan presiden Mohamad Hasan menegaskan Perikatan Nasional hanya satu ikatan longgar yang tidak mengikat, tidak seperti gabungan politik Barisan Nasional atau Muafakat Nasional antara Umno dan PAS. – 7 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen