Mesyuarat Pemuda Bersatu dengan Dr Mahathir terdesak, kata exco Armada


Keputusan Pemuda Bersatu mahu parti kembali bersama PHbukan sebulat suara selepas beberapa sayap negeri serta pemimpin exco pusat dan bahagian menolak pengumuman semalam. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 Mei, 2020.

KEPUTUSAN sayap Pemuda Bersatu (Armada) mahu parti kembali bersama Pakatan Harapan (PH) bukan sebulat suara selepas beberapa sayap negeri serta pemimpin exco pusat dan bahagian menolak pengumuman yang dibuat semalam.

Sekurang-kurangnya empat sayap Pemuda Bersatu negeri iaitu Perak, Selangor, Terengganu, dan Sabah menolak keputusan tersebut, yang diumumkan selepas pertemuan dengan pengerusi parti Dr Mahathir Mohamad.

Dua exco Pemuda Bersatu di peringkat pusat juga membantah keputusan itu, dengan seorang daripadanya menyifatkan pertemuan dengan Dr Mahathir itu “langkah terdesak dan tidak bertanggungjawab”.

Exco Pemuda Bersatu Mahathir Mohd Rais, yang tidak menyertai pertemuan itu kerana ada urusan peribadi, berkata mesyuarat semalam membuat ketetapan menolak Umno kerana hormatkan Dr Mahathir.

“Ada sahabat yang hadir dalam mesyuarat berkata, jika mereka bersuara di dalam mesyuarat itu mungkin mereka akan dilabel sebagai biadap atau kurang ajar.

“Sebab itu mereka mengambil langkah untuk berkecuali demi menghormati Tun (Dr Mahathir) yang turut serta dalam mesyuarat agihan bantuan (Covid-19) tersebut. Pelik tapi benar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas Mahathir, Pemuda Bersatu sepatutnya memberi tumpuan pada usaha mengukuhkan semula parti selepas pucuk pimpinan menolak gabungan bersama Pakatan dan membentuk kerajaan bersama Perikatan Nasional (PN).

“Urusan PN atau PH ini serahkanlah pada pucuk pimpinan tertinggi parti,” katanya.

Seorang lagi exco Pemuda Bersatu Muzammil Ismail juga membantah keputusan sayap itu yang beliau sifatkan mahu memecahbelahkan parti.

Katanya, Bersatu sekarang sepatutnya memberi tumpuan untuk mengukuhkan kerajaan dan kuasa yang ada, demi manfaat kepada ahli dan rakyat.

“Kenyataan ‘Armada tolak PN, kembali kepada PH’ hanya memecahkan kesatuan dan ketenangan kita semua dalam tempoh perintah kawalan pergerakan ini,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Muzammil adalah calon yang mencabar ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam pemilihan parti yang kini sudah ditangguhkan sehingga Jun susulan penularan Covid-19 dan sekatan untuk pencegahan wabak.

Seorang lagi calon ketua Pemuda, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata sayap itu sebenarnya terikat dengan keputusan Majlis Pimpinan Tertinggi parti yang memilih bekerjasama dengan Umno dan bukan lagi bersama Pakatan.

Keputusan itu kekal sehingga ada keputusan sebaliknya oleh MPT sendiri, katanya.

“Saya menyeru agar semua pihak menghormati keputusan ini, tegas berdisiplin, menjaga kerukunan dan perpaduan parti, dan sama-sama menggiatkan usaha untuk memperkukuh keluarga besar Bersatu terutamanya ketika negara masih bergelut dengan wabak Covid-19,” katanya.

Semalam, sayap Pemuda Bersatu mengumumkan keputusan menolak kerjasama dengan Umno sebaliknya menyokong usaha membawa parti kembali untuk bersama PH.

Keputusan itu berdasarkan undian semasa perjumpaan dengan Dr Mahathir yang dipersetujui oleh lebih dua pertiga ahli mesyuarat dan selebihnya berkecuali tanpa ada yang menolak, kata Pemuda Bersatu.

Bersatu kini terbelah dua selepas presidennya Muhyiddin Yassin menarik parti keluar dari PH pada hujung Februari lalu sehingga membawa kepada peralihan kuasa di Putrajaya dan tiga negeri.

Satu kelompok menyokong Dr Mahathir sementara satu kumpulan lagi mendukung Muhyiddin.

Dr Mahathir sudah terpilih semula sebagai pengerusi parti sementara Muhyiddin dicabar oleh timbalannya Mukhriz Mahathir untuk jawatan presiden.

Keputusan Pemuda Bersatu yang diumumkan semalam dibuat beberapa hari selepas Mukhriz membuat satu kenyataan terbuka meminta Muhyiddin menjelaskan kedudukan parti dalam kerjasama dengan Umno dan PAS.

Mukhriz berpandangan lebih baik Bersatu bersama PH daripada dipermain-mainkan oleh Umno dalam PN.

Beberapa pemimpin Umno termasuk timbalan presiden Mohamad Hasan menegaskan PN hanya satu ikatan longgar yang tidak mengikat, tidak seperti gabungan politik Barisan Nasional atau Muafakat Nasional antara Umno dan PAS. – 7 Mei, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen