PAS ditawar kerajaan pintu belakang, kata Hadi


Diyana Ibrahim

Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata partinya nekad mahu menang dengan cara betul dalam PRU15 akan datang dan menolak gerakan yang menawarkan kerajaan pintu belakang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 24 November, 2019.  

PAS mendakwa parti Islam itu diberi tawaran untuk menyertai kerajaan pintu belakang, kata Presidennya Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi membuat pendedahan tersebut dalam ceramahnya semasa menyentuh mengenai kejayaan Pilihan Raya Kecil PRK Tanjung Piai.

Tanpa menamakan pihak yang memberi tawaran itu  Hadi berkata PAS menolak gerakan tersebut sebaliknya nekad mahu menang dengan cara betul dalam Pilihan Raya Umum ke 15 bersama Umno menerusi kerjasama Muafakat Nasional.

“Sambutan yang baik, perkembangan politik yang sangat baik insyaAllah kita akan masuk pintu depan bukan pintu belakang.

“Kita akan masuk pintu depan cuma pintu belakang terbuka. Bukan  kita nak masuk pintu belakang pun… kita nak masuk pintu depan tapi dia buka pintu belakang,” katanya dalam ceramah Mega Muafakat Nasional Peringkat Negeri Selangor di Shah Alam malam tadi.

Mengulas lanjut Hadi berkata gerakan tersebut menimbulkan kebimbangan Pakatan Harapan (PH).

Dakwanya lagi PH berdepan dengan senario dan konflik yang semakin bercelaru.

“Ada yang takut bila pintu belakang terbuka, jadi kacau bilau.

“Mereka takut maka berlakulah kecelaruan dalam PH,” katanya di hadapan kira- kira 600 ahli Umno dan PAS yang hadir dalam ceramah itu.

Dalam ucapannya Hadi turut mengakui adalah perkara biasa jika pemimpin politik mengambil sebarang tawaran yang bukan kepentingan mereka namun untuk negara dan rakyat.

“Kita orang politik tak lepas peluang. Apa peluang kita ambil itu amalan biasa. Kita bukan tamak tapi nak selamatkan negara,” katanya.

Isu kerajaan pintu belakang mula timbul apabila PH dalam kenyataannya mendakwa bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein membuat gerakan untuk menubuhkan kerajaan baharu tanpa DAP dan Amanah.

Bagaimanapun dakwaan untuk membentuk kerajaan melibatkan pemimpin PH dan Umno dinafikan Hishammuddin.

Hishammuddin turut menafikan beliau juga terlibat dalam usaha menghalang peralihan kuasa perdana menteri kelapan kepada Anwar Ibrahim.

Isu kerajaan pintu belakang semakin memuncak apabila Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali  menganjur pertemuan dengan 17 ahli Parlimen BN di kediamannya pada hari Isnin lalu.

Azmin mendakwa pertemuan itu hanyalah perkara biasa dan tidak membabitkan usaha menyekat Anwar  dari menjadi perdana menteri.

Ahli Parlimen pembangkang itu pula mendakwa pertemuan berkenaan bagi membincangkan masalah ekonomi dan peruntukan untuk kawasan masing-masing. – 24 November, 2019.  



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen