KEPUTUSAN PRK Tanjung Piai menunjukkan pengundi menolak budaya politik ekstrem dan fitnah melampau, kata Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS itu berkata keputusan itu juga menunjukkan masyarakat berbilang kaum telah menerima perjanjian yang ditandatangani Umno dan PAS untuk kepentingan masyarakat Islam.
Beliau berkata keputusan itu akan memberi laluan kepada hubungan rapat antara kedua-dua parti besar Melayu.
“Kekalahan PH dalam pilihan raya kecil ini menjadi isyarat penolakan rakyat terhadap kegagalan Pakatan Harapan (PH) membela kebajikan rakyat dan janji manifesto yang tidak tertunai, di samping petanda rakyat menolak budaya politik ekstrem dan fitnah melampau,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik dalam Facebook.
Dalam PRK semalam Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 15,086 undi.
Dalam keputusan rasminya, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan calon BN Wee Jeck Seng mendapat 25,466 undi berbanding calon PH Karmaine Sardini yang mendapat 10,380 undi.
Calon Gerakan Wendy Subramaniam jauh tercicir dengan 1,707 undi sementara calon Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz mendapat 850 undi.
Dua calon bebas Dr Ang Chuan Lock mendapat 380 undi dan Faridah Aryani Abd Ghaffar hanya 32 undi.
Jumlah undi Wee malam tadi adalah kira-kira 22% lebih banyak dari 20,731 undi yang diterima pada PRU-14 tahun lepas apabila beliau kalah kepada calon PH. – 17 November, 2019.
Komen