PEMIMPIN bukan Islam tidak akan mendapat kedudukan dalam Kabinet pentadbiran PAS dan Umno kerana posisi itu hanya untuk orang Islam di bawah pakatan itu, kata Lim Guan Eng.
Setiausaha Agung DAP itu berkata malangnya MCA kini sudah menjadi sekutu politik PAS sedangkan parti Cina itu sebelum ini mengkritik politik ekstremis dan diskriminasi terhadap bukan Islam.
Lim berkata demikian sebagai membuktikan bahawa PAS mengancam hak asas bukan Islam dan bukan Melayu seperti yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man sebelum ini meminta Lim untuk menunjukkan bukti tentang dakwaan berhubung perkara itu.
“Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam satu artikel pada Disember 2017 berkata bahawa politik dalam Islam menetapkan bahawa pemimpin utama perlulah dari kalangan Islam untuk merangka dasar.
“Kepakaran orang bukan Islam untuk pengurusan, bukan (membuat) dasar dan konsep,” katanya dalam satu kenyataan.
Lim berkata pandangan yang sama turut disuarakan oleh timbalan ketua Pemuda PAS Ahmad Fadhli Shaari yang menyatakan kedudukan utama dalam kerajaan perlu dipegang oleh orang Islam.
Menteri kewangan itu juga menyebut semula kenyataan Hadi yang memberi amaran kepada orang Islam untuk memilih pemimpin kalangan Islam dan mendakwa kepimpinan bukan Islam akan berakhir di neraka.
“Kenyataan ini sudah cukup untuk kita meragui keikhlasan PAS dalam sistem demokratik untuk memberi hak kepada rakyat memimpin mengikut acuan Perlembagaan Persekutuan seperti yang kita amalkan selama ini,” katanya.
Minggu lalu Lim berkata kemenangan MCA di Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai akan membuka ruang kepada fahaman perkauman dan ekstremis agama oleh PAS dan Umno.
PRK kali ini menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Pakatan Harapan, Barisan Nasional, Gerakan, Berjasa dan dua calon Bebas. – 13 November, 2019.
Komen