SEORANG individu membuat laporan polis terhadap video klip berbaur perkauman oleh Exco Pemuda Umno Wan Muhammad Azri Bin Wan Deris di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, Pulau Pinang.
Ketua Polis Daerah Timur Laut Soffian Santong berkata, pihaknya menerima laporan itu pada 14 November lepas, jam 7.25 petang.
Jelasnya, pengadu membuat laporan tersebut kerana mendapati kandungan klip video itu bertujuan mengapi-apikan sentimen perkauman dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Pengadu memberitahu melihat klip video tersebut dalam aplikasi Facebook dalam ‘Fan Page’, Kerajaan Kini (yang ditulis dalam bahasa Cina) di mana video tersebut di buat oleh seorang lelaki Melayu iaitu Papa Gomo (Wan Muhammad Azri Bin Wan Deris).
“Video tersebut diucapkan dalam Bahasa Melayu dan terdapat sari kata dalam bahasa Cina dalam klip Video tersebut,“katanya kepada The Malaysian Insight.
Tambahnya, video itu telah dimuat turun ke laman Facebook pada 14 November, pada 4:08 petang.
Dalam video itu, Papagomo berkata hak mengundi kaum Cina dan India harus dilucutkan sekiranya Umno-PAS berjaya menubuhkan “kerajaan Bumiputera”, ia dikeluarkan ketika kempen Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai sedang hangat dijalankan.
Antara intipati video tersebut adalah: ” Betul, saya betul-betul, saya cakap terus terang. Saya, saya mengharapkan, saya mengharapkan penyatuan ummah ini berjaya. Kita dapat tubuhkan Kerajaan Bumiputera. Kalau dapat dua pertiga majoriti Parlimen, saya nak tarik hak mengundi itu. Kaum India dan kaum Cina tidak dibenarkan untuk mengundi di Malaysia.”
Kata Soffian, pengadu mahu siasatan polis dijalankan dibawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan.
“Polis hanya terima satu laporan, sama ada Papagomo dipanggil atau tidak untuk beri keterangan, kita tunggu respon daripada Bukit Aman,” ujar beliau.
Semalam, Papagomo berkata, video rakaman itu dikitar semula oleh DAP.
“Video saya yang tular telah diambil tanpa melihat rakaman penuh yang asal. Video yang direkodkan pada Oktober 2018 ini sebelum ini juga telah diviralkan pada November 2018.
“Video lapuk dikitar semula hari ini oleh DAP kerana terdesak mahu mendapatkan sokongan undi kaum Cina dan India,” katanya dalam satu kenyataan.
Papagomo turut menjelaskan, kenyataan mengenai hak undi itu hanya ditujukan kepada pengundi India dan Cina daripada DAP sahaja.
“Hampir semua orang Melayu kenal saya. Saya ultra Melayu, dan anti-DAP. Musuh saya DAP, baik Cina, Melayu, dan India DAP semua adalah musuh,” jelasnya. – 16 November, 2019.
Komen