Masa untuk bina 'rumah baru' semula, kata Tok Mat


Kerjasama rapat Umno yang dihimpit pelbagai skandal dengan parti bernuansa Islam, PAS, dilihat boleh menarik sokongan dari kalangan pengikut kedua-dua parti yang memiliki jumlah pendukung yang ramai daripada kalangan Melayu. – Gambar The Malaysian Insight, 1 September, 2019.

TIMBALAN Presiden Umno Mohamad Hassan menggesa anggota parti untuk membina semula sebuah “rumah baru” untuk melindungi orang Melayu dan Islam berikutan kekalahan parti itu dalam pilihan raya umum tahun lepas.

Menggelarkan Pakatan Harapan (PH) sebagai anai-anai, Mohamad berkata masih belum terlambat untuk memperbaiki Putrajaya daripada dimusnahkan oleh PH.

“Sekarang ni anai-anai sudah menguasai Putrajaya, baru nak menyesal, rumah dah reput tapi belum terlambat lagi, kita pungut yang kuat-kuat, kita pungut tiang-tiang, kita pungut lantai yang belum terjejas lagi, kita buat rumah baru. 

“Benteng yang kita bina dulu adalah semen tahun 1957 dan runtuh pada masa tsunami 9 Mei 2018. Mari kita sama-sama pungut balik batu-bata dan runtuhan itu, kita bina semula untuk membentengi negara.

“Kita bina yang lebih kuat dan lebih kukuh untuk terus membentengi negara yang bertuah dan berbilang kaum ini… kita mantapkan lagi azam untuk menjadikan Malaysia menjadi sebuah negara yang progesif dan negara lebih maju ke depan,” katanya semasa Majlis Penyatuan Ummah di Rantau.

Beliau berkata perkara ini mesti dikongsi oleh semua orang dan ia juga perlu diambil serius.

Adun Rantau itu berkata bahawa PH tidak melakukan apa-apa untuk negara ini.

“Apa yang rakyat dapat? Kerajaan baru ini seolah-olah membenarkan apa saja tohmahan, tuduhan dan fitnah yang dilemparkan antara satu sama lain. Ini cukup merbahaya dan ini seperti bermain api.

“Api dalam sekam jangan dibiarkan hidup, kalau ia terbakar habis dan susah nak padam. Api perkauman jangan dimainkan terutamanya yang bersangkut paut dengan agama dan ini amat merbahaya,” katanya.

Beliau kemudian menggesa anggota Umno untuk ambil pelajaran daripada kisah empayar gergasi yang runtuh kerana tidak mampu mengendalikan “api kecil “. – 1 September, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen