PENYALAHGUNAAN kuasa dan kewujudan kartel antara sebab kenaikan harga makanan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Asas Tani Sim Tze Tzin.
Malaysia membelanjakan RM52 bilion pada 2017 untuk mengimport makanan termasuk produk yang dihasilkan di negara ini.
“Kos ini tinggi kerana isu salah guna kuasa dan kartel yang menjurus kepada kenaikan harga makanan,” katanya pada majlis Jalinan Mesra Peladang 2019 Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) di Petaling Jaya awal hari ini.
“Kita akan mencari penyelesaian supaya harga makanan boleh diturunkan,” katanya.
Mengenai import produk makanan, Sim menggesa peladang tempatan untuk mengambil peluang menembusi pasaran.
Katanya nilai import daging lembu dan kerbau mencecah Rm2.4 bilion manakalan import ikan segar berjumlah RM2.1 bilion.
Barangan makanan lain yang diimport adalah daging kambing (RM792 juta), cili (RM244 juta), sayuran (RM462 juta), timun (RM12 juta) dan kubis (RM167 juta).
Sim mengulas mengenai isu kenaikan harga barang makanan seperti yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Selayang William Leoang yang turut hadir pada majlis itu.
Memetik laporan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) bertajuk Kajian Pasaran terhadap Sektor Makanan di bawah Akta Persaingan 2010, Leong menyoal mengenai isu salah guna Permit Kelulusan (AP) dan bagaimana pasaran dikawal oleh pihak tertentu.
“Sebagai contoh, terdapat tujuh negara di dunia yang dibenarkan mengeksport daging lembu ke Malaysia dan daripada negara tersebut, tidak lebih 10 pusat penyembelihan diberi kebenaran,” katanya.
Leong berkata terdapat beberapa syarikat yang mengawal rumah pusat penyembelihan itu.
“Dengan memberikan AP import, dua syarikat mengawal kira-kira 50% daripada kseluruhan import. Mereka yang mengawal harga,” katanya.
Beliau berkata harga borong meningkat 80% manakal harga runcit meningkat 70% dalam tempoh tujuh tahun dari 2010 hingga 2017.
Akibatnya, harga daging di Malaysia lebih tinggi dari Singapura, Australia, Indonesia dan negara lain.
Mengulas mengenai ikan kembung, Leong berkata harga ikan itu meningkat lebih 100% dalam tempoh sedekad kerana pasaran dikawal oleh beberapa syarikat walaupun terdapat 75 pemegang AP.
Dalam pada itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim yang hadir pada majlis itu memberitahu bahawa tiada ruang untuk monopoli di bawah kerajaan baharu. – 10 November, 2019.
Komen