
KEMENTERIAN Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menegaskan kerajaan tidak pernah menurunkan bajet bagi subsidi baja padi termasuk peruntukan untuk inisiatif membantu pesawah padi seperti Skim Baja Padi Kerajaan Persekutuan (SBPKP).
Timbalan menterinya, Sim Tze Tzin berkata MOA sentiasa komited membantu pesawah padi dengan peruntukan berjumlah RM1.54 bilion yang diluluskan tahun ini untuk keseluruhan subsidi bagi sektor padi dan beras yang banyak memberi manfaat buat golongan itu.
“Setelah dibuat penilaian, sebenarnya tiada penurunan bajet untuk pemberian subsidi baja padi. Contohnya SBPKP melibatkan pemberian baja sebatian, dahulu mereka dapat 12 beg dan sekarang pun dapat 12 beg, baja urea dahulu enam beg, sekarang pun enam beg,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) mengenai langkah diambil kerajaan untuk meringankan beban golongan petani, pekebun dan pesawah khususnya di negeri Kedah yang terkesan dengan pemotongan pelbagai subsidi dan insentif dalam Belanjawan 2020.
Sim berkata RM626.5 juta diperuntukkan untuk Skim Subsidi Harga Padi, Skim Insentif Pengeluaran Padi (RM413.8 juta) dan SBPKP (RM382.5 juta).
Beliau berkata selain itu, kerajaan turut memperuntukkan RM150 juta dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) bagi menggalakkan penghasilan padi dengan lebih tinggi.
“Kita juga meneruskan harga pembelian padi pada kadar RM1,200 bagi setiap tan metrik dan insentif benih padi sah RM75 juta setiap tahun bagi memastikan benih padi yang diberikan berkualiti.
“Kita juga mengadakan pemulihan tanah atau soil profiling bagi mengenal pasti tahap kesuburan tanah dan kesesuaian bantuan baja dalam usaha meningkatkan kecekapan bantuan input serta membangunkan ‘rice check’ dan Standard Operating Procedure (SOP) untuk meningkatkan produktiviti,” katanya.
Sim berkata, pihaknya turut menggalakkan golongan pesawah membuat penanaman bercampur dengan tanaman lain untuk mempelbagaikan pendapatan. – Bernama, 24 Oktober, 2019.
Komen