PENGUATKUASAAN terhadap racun paraquat akan bermula tahun hadapan, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin.
Penjualannya dianggap satu kesalahan di bawah Akta Racun Perosak 1974 bermula 1 Januari, susulan pengharaman terhadap import racun berkenaan, katanya kepada The Star.
Mereka yang berdaftar untuk menggunakan paraquat mempunyai tempoh setahun untuk menggunakan stok racun mereka menjelang penguatkuasaan itu, tambahnya.
Akta berkenaan memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali terhadap mereka yang didapati menjual dan menyimpan racun berkenaan.
Sebelum ini, penggunaan paraquat dibenarkan dalam pertumbuhan pokok kelapa sawit tidak matang, padi bukit dan nenas.
Sim berkata, pengharaman itu akan membantu kerajaan mencapai matlamatnya dalam mempromosikan amalan pertanian yang baik, yang mahu mengurangkan kos penggunaan racun perosak.
Tambah Sim, alternatif kepada racun berkenaan, glyphosate dan glufosinate-ammonium, mempunyai kesan toksid lebih singkat berbanding paraquat, dan ia digunakan secara meluas dalam sektor perladangan dan pekebun kecil.
Sebelum ini, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Salahuddin Ayub berkata, paraquat lebih kerap digunakan sebelum ini, kerana racun alternatif lebih lambat berkesan namun secara perbandingannya ia lebih selamat untuk alam sekitar berbanding paraquat.
Keputusan Kabinet untuk mengharamkan paraquat dibuat pada 2002 dan disusuli oleh kajian bagaimana ia memberi kesan terhadap sektor pertanian. Cadangan pengharaman itu turut mendaoat bantahan daripada petani yang memilih untuk menggunakannya kerana kesannya lebih cepat.
Paraquta juga turut digunakan dalam kebanyakan kes bunuh diri. – 9 November, 2019.
Komen