PUTRAJAYA sedang meneliti kaedah lelong nelayan Jepun bagi memasarkan sendiri hasil tangkapan bagi menghapuskan orang tengah dan menstabilkan harga ikan.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata salah satu sebab utama harga tinggi ikan adalah kewujudan orang tengah dan dengan penghapusan kumpulan itu, nelayan boleh menentukan harga tangkapan mereka sendiri berdasarkan prinsip bekalan dan permintaan.
Sim mendakwa cadangan itu sedang dipertimbangkan kerana tangkapan nelayan buat masa sekarang perlu melalui sehingga empat lapisan orang tengah sebelum masuk pasaran, menyebabkan harganya meningkat naik.
Presiden Persatuan Pemborong Ikan Kuala Lumpur Sing Kian Hock, bagaimanapun, tidak bersetuju dengan pendapat itu, berkata hanya satu lapisan orang tengah wujud antara nelayan dan pembeli.
Ling berkata jenis ikan berbeza mempunyai harga berlainan dan ia hanya menguntungkan jika dijual pada harga tinggi.
“Borong makanan laut kita termasuklah produk dari Tanjung Sepat, Seremban, Kuala Selangor dan Melaka, tetapi kita tak boleh kawal harga produk yang dijual selepas kita menjual stok kita.
“Kami pemborong hanya buat untung kurang 10% apabila beli daripada nelayan. Ikan tenggiri misalnya dijual dengan harga RM20 sekilo, kami hanya untung RM2 sahaja.
“Jika ada orang jual stok kami dan jual semula kepada restoran untuk raih untung, itu diluar kawalan kami,” kata Ling.

Menurutnya lagi, proses itu sama dengan minuman ringan seperti Coca-Cola, yang dijual dengan harga RM2 setin, tetapi ada hotel yang menjualnya sehingga RM4 setin, malah hotel lima bintang menjualnya dengan harga lebih tinggi.
Ling berkata ini menunjukkan pasaran menentukan harga, dan harga tinggi ikan bukan disebabkan kenaikan harga dibuat orang tengah.
“Ada harga pasaran untuk makanan laut, tetapi bila makanan itu sampai di restoran atau hotel mewah, ia (harga) boleh naik sehingga 100% atau 150%.
“Jika harga pasaran untuk ikan bawal adalah RM70 sekilo, ia boleh naik sehingga RM200 sekilo di restoran. Pelanggan bayar, kerana ia melibatkan kos tetap restoran, reka bentuk, perkhidmatan dan lain-lain,” katanya.
Ling berkata siasatan dibuat Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan dialu-alukan kerana marjin keuntungannya hanyalah kurang 10% dan beliau mempunyai resit untuk membuktikannya.
Beliau memberitahu The Malaysian Insight yang terdapat risiko dalam perniagaan borong makanan laut, seperti tempoh masa mereka boleh menjual stok, kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan ikan busuk dan terpaksa dilupuskan.
Ling berkaya berita mendakwa orang tengah meraih lebih 10% untung yang tular di media sosial berada di luar kawalan mereka.
“Secara puratanya, saya beli antara 800 kg dan 1,000 kg ikan daripada nelayan setiap hari. Katakan, jika kami untung RM15 sekilo seperti didakwa, kami boleh buat berpuluh juta untung dalam tiga atau empat tahun. Jika begitu, mengapa kami perlu ambil risiko berniaga seperti sekarang?”

Presiden Persatuan Pengeluar Makanan Laut Hutan Melintang Lee Chu Soi berkata nelayan biasanya akan menghantar hasil tangkapan mereka ke pasar untuk dijual selepas bot berlabuh atau peniaga akan membeli hasil tangkapan secara terus di bot, meminimumkan proses tangkapan bertukar tangan.
Lee berkata harga makanan laut ditentukan oleh berapa banyak hasil tangkapan nelayan dan cuaca, dan biasanya makanan laut yang dijual di kawasan pelancongan lebih mahal.
Katanya, kenyataan Sim boleh merujuk kepada nelayan kecil yang ke laut setiap hari, dan dalam keadaan itu tidak mustahil hasil tangkapan mereka melalui beberapa lapisan orang tengah.
“Umumnya, antara Mac dan September ikan banyak. Selepas September tangkapan kurang dan bila tak boleh penuhi permintaan, harga akan naik,” katanya.
Sim sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight yang penghapusan sepenuhnya orang tengah daripada pasaran mustahil dilakukan kerana kebanyakan nelayan tidak berupaya menjual hasil tangkapan di pasar selepas kembali dari laut, dan mereka juga tidak mempunyai rangkaian niaga yang baik.
Jadi, nelayan bergantung kepada orang tengah untuk menjual hasil tangkapan.
“Saya faham mengapa orang tengah naikkan harga kerana risiko stok (makanan laut) rosak sebelum dapat menjualnya,” katanya.

Sim berkata kajian kerajaan mendapati pengguna boleh menikmati harga rendah jika nelayan menjual hasil tangkapan sendiri di pasar, dan semua boleh melakukan bidaan di sana, dan harga akhirnya akan ditentukan bekalan dan permintaan.
“Kita tak boleh kawal harga ikan, dan kita tak boleh halang perniagaan makanan laut buat untung, tetapi kita sedang mempertimbangkan untuk membenarkan Jabatan Perikanan berperanan sebagai orang tengah.
“Nelayan boleh hantar hasil tangkapan kepada Jabatan Perikanan tempatan dan mana-mana bakal pembeli seperti pekedai, restoran dan pelanggan biasa boleh membida barangan yang mereka mahukan di sana,” katanya.

Bagaimanapun, Sim menjelaskan cadangan itu perlu dirunding dengan pemain industri dahulu.
Katanya, cadangan itu mungkin tidak sesuai kerana masalah pengangkutan dan jarak, apatah lagi permintaan dan bekalan industri perikanan negara tidak sebesar negara lain.
Kebimbangan Sim itu dipersetujui oleh pemborong di Hutan Melintang, dengan Lim mempersoalkan adakah kerajaan bersedia mengendalikan aspek pengangkutan menghantar hasil tangkapan dari kawasan itu terus ke Kuala Lumpur tanpa melalui pemborong.
Sing daripada persatuan pemborong Kuala Lumpur berkata, satu-satunya cara menjaga kebajikan rakyat dan pada masa sama turut memastikan pemborong boleh terus berniaga adalah menggalakkan penggunaan ikan lebih mahal untuk golongan mampu.
“Kerajaan kata mereka mahu jaga kumpulan B40, saya rasa satu-satunya cara untuk berbuat demikian adalah menggesa orang ramai yang mampu untuk membeli ikan yang lebih mahal, manakala orang yang ada masalah kewangan boleh guna ikan kembung.”– 1 November, 2019.
Komen