NELAYAN Pulau Pinang berpendapat cadangan Sim Tze Tzin supaya mereka menternak ikan secara akuakultur tidak munasabah kerana ia tidak mampu dilakukan golongan itu.
Kumpulan nelayan ini juga mempersoalkan sekiranya timbalan menteri pertanian dan asas tani itu memahami bidang tugasnya kerana boleh memberi cadangan seperti itu.
Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad berkata tiada kawasan yang sesuai untuk ternakan ikan dan mereka tidak akan untung jika menjalankannya secara kecil-kecilan.
“Harganya sangat mahal. Setiap satu unit akuakultur bagi ternakan ikan bernilai RM4 hingga RM5 juta.
“Boleh buat dalam skala kecil, RM100,000 hingga RM200,000 tetapi tidak bawa untung. Kos penyelengaraannya tinggi,” kata beliau kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengulas saranan Sim minggu lalu agar nelayan tradisional berpindah ke industri akuakultur bagi meningkatkan pendapatan.
Ia bagi menampung kehilangan pendapatan yang akan dialami nelayan itu akibat tambakan laut besar-besaran yang akan memusnahkan kawasan golongan itu mencari rezeki.
Nazri yang ditemui selepas Forum Impak Tambakan Laut di Georgetown berkata persatuannya sanggup menjadi pemain industri akuakultur sekiranya Sim boleh menyuntik dana kepada mereka.
Bagaimanapun, mereka tidak akan berganjak daripada pendirian membantah tambakan laut, katanya lagi.
“Kalau dia (Sim) boleh bagi RM5 juta seorang nelayan, kami sanggup jadi pemain (industri) tetapi kita tetap bantah tambakan laut,” kata beliau.
Jelasnya, perairan Pulau Pinang sudahpun tercemar dan projek tambakan laut itu sendiri akan memburukkan keadaan dan menghalang usaha ternakan akuakultur.

Untuk membina kolam ternakan ikan pula, pelbagai perkara perlu diberi perhatian seperti arus, kejernihan dan kualiti air yang akan melibatkan modal besar, katanya.
“Kawasan yang baik untuk penternakan ikan adalah Pulau Jerejak dan Sungai Udang tetapi kedua-dua kawasan itu bertentangan dengan kawasan tambakan.
“Jadi di mana lagi mahu buat?” soal beliau kembali yang memimpin bantahan nelayan ke atas projek tambahan laut berkenaan.
Nelayan ini percaya hasil tangkapan yang berkurangan sejak beberapa tahun lalu berpunca daripada projek tambakan di sekitar perairan tersebut.
Mereka bimbang projek tambakan untuk membina tiga pulau seluas 1,800 hektar itu akan memusnahkan mata pencarian mereka sekiranya diteruskan.
Mereka turut memberi amaran harga ikan akan naik kerana projek tambakan itu akan menjejaskan banyak kawasan pembiakan benih.
Malah nelayan di kawasan perairan yang tidak terlibat dengan tambakan seperti di Teluk Bahang, utara Pulau Pinang juga terjejas teruk.
Kematian begitu banyak ikan sangkar di kawasan itu dikaitkan dengan pencemaran air akibat perlombongan pasir dan pembuangan sisa.
Tambakan pulau itu untuk untuk membiayai projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang melibatkan lebuh raya, kereta api, kereta kabel dan terowong bawah laut. – 20 September, 2019.
Komen