AGENDA Wawasan Kemakmuran Bersama mempunyai matlamat yang patut dipuji iaitu untuk mengurangkan jurang kekayaan antara golongan kaya dan miskin dan meningkatkan gaji 40% isi rumah terendah, kata ahli ekonomi yang turut memberi amaran bahawa sasaran tersebut sukar dicapai.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight bahawa ia sukar dicapai kerana struktur ekonomi Malaysia sekarang dan pertumbuhan yang lembab di seluruh dunia memberi impak kepada negara yang bergantung kepada perdagangan seperti Malaysia.
Sama seperti pelan ekonomi sebelum ini, ia banyak bergantung kepada bagaimana dasar WKB2030 dilaksanakan dan kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan pembaharuan, tambah mereka.
Menurut merek lagi, sekiranya kerajaan telus, dapat bertahan dengan perancangannya dan cukup agresif, WKB2030 dapat meningkatkan pendapatan untuk kelas pekerja dan merapatkan jurang kekayaan, kata Dr Yeah Kim Leng dari Universiti Sunway.
“Keseluruhannya, WKB2030 mengambil semangat Wawasan 2020 yang gagal dilaksanakan,” kata Yeah, yang mengetuai Program Pengajian Ekonomi di Institut Jeffrey Cheah di Asia Tenggara.
“Dasar yang lebih terbuka, telus dan meritokrasi, bersama-sama dengan tumpuan terhadap kumpulan berpendapatan rendah, akan menjadi agenda penting untuk mencapai wawasan kemakmuran bersama, di mana ia menumpukan usaha demi membina negara yang benar-benar bermaruah dan bersatu pada 2030.”
Yeah merujuk kepada salah satu daripada 10 sasaran WKB2030 iaitu untuk menggandakan pendapatan bulanan median kumpulan B40 kepada RM5,800 dalam tempoh 10 tahun.
WKB2030, yang merupakan agenda ekonomi Pakatan Harapan untuk mengubah ekonomi dalam tempoh 10 tahun, dilancarkan oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad pada hari Sabtu.
10 sasaran lain termasuk:
- Meningkatkan sumbangan buruh (CE) dalam keluaran dalam negara kasar (KDNK) kepada 48% dari 35.7%.Tahap CE mencerminkan nilai upah pekerja berbanding ekonomi. Ekonomi maju mempunyai nilai CE antara 45% dan 51%.
- Mengurangkan jurang pendapatan antara isi rumah bumiputera, Cina dan India.
- Mencapai kadar pertumbuhan 4.7% setahun untuk 10 tahun akan datang bagi menjana KDNK nominal RM3.4 trilion menjelang 2030.
- Mengurangkan jurang pendapatan antara negara-negara Semenanjung Pantai di Semenanjung dan negeri-negeri lain. – 7 Oktober, 2019.
Komen