KONTRAK kerajaan, lesen dan lesen import(AP) hanya diberikan kepada mereka yang mampu melaksanakan projek dan konsesi, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Beliau juga menyatakan bahawa amalan menjual kontrak kerajaan, lesen dan AP berleluasa ketika pentadbiran sebelum ini memerintah.
“Ada banyak peluang yang terbuang kerana pemberian kontrak kepada pihak yang tidak layak, mereka yang tidak mempunyai keupayaan sehingga menyebabkan kontrak dijual (kepada pihak lain),” kata Dr Mahathir dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat khas Kabinet di Putrajaya hari ini.
“Kita tidak boleh membenarkan kontrak kerajaan, lesen dan AP untuk dijual,” katanya.
Beliau juga mengatakan Putrajaya akan memastikan bahawa kontrak, lesen dan AP itu diberikan kepada mereka yang berkebolehan.
“Jika mereka tidak mampu, kami akan melatih mereka sehingga mereka layak,” katanya.
“Pada masa lalu, kita cipta banyak peluang, berikan peluang kepada semua orang tetapi akhirnya mereka menjual kontrak. Kali ini tidak akan ada lagi jualan kontrak, “katanya.
Perdana menteri turut berkata matlamat kerajaan adalah untuk melihat penyempurnaan akhir kontrak yang diberikan.
Kabinet hari ini bermesyuarat selama tiga jam pagi ini di Pejabat Perdana Menteri.
Agenda utama mesyuarat tersebut adalah bagi membincangkan Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030. – 14 September, 2019.
Komen