EKONOMI negara akan disusun semula untuk menjadi lebih progresif di bawah Wawasan Kemakmuran Bersama 2021-2030, menerusi penggunaan teknologi canggih, inovasi, penyelidikan dan pembangunan, kata Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.
Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu berkata tumpuan akan diberikan kepada sumber yang boleh merangsang ekonomi digital, industri aeroangkasa, pertanian pintar dan perkhidmatan yang menyokong Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).
Pada masa yang sama, Putrajaya juga akan memulihkan industri sedia ada yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Satu kertas kerja mengenai Wawasan Kemakmuran Bersama telah dibentangkan oleh Kementerian Hal Ehwal Ekonomi kepada anggota kabinet dalam mesyuarat khas tiga jam awal hari ini.
Kertas kerja tersebut membincangkan keperluan untuk menimbang semula dasar ekonomi semasa untuk mewujudkan kemakmuran untuk semua dan mengatasi masalah ekonomi global.
“Wawasan yang merangkumi tempoh 2021-2030 merupakan iltizam untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah ekonomi yang terus berkembang dengan rancak dan mampan. Matlamat Wawasan ini adalah untuk menyediakan taraf hidup yang makmur kepada semua rakyat menjelang 2030.
Komitmen berkenaan akan menyuburkan perpaduan di kalangan rakyat dan mengukuhkan kestabilan politik.” kata kementerian itu.
Putrajaya percaya komitmen itu juga akan menstabilkan politik dan menanam perpaduan di kalangan rakyat.
Manfaat Wawasan Kemakmuran Bersama akan dapat dilihat apabila kesenjangan pendapatan antara kumpulan pendapatan tinggi dan berpendapatan rendah, etnik, serta penduduk bandar dan luar bandar dikecilkan.
“Keindahan Kemakmuran Bersama akan menyerlah apabila jurang ekonomi antara kumpulan pendapatan, etnik, wilayah dan rantaian bekalan dirapatkan dalam konteks ekonomi yang terus berkembang.
“Walhasil, memastikan nasib semua rakyat terbela dan tiada yang ketinggalan di dalam arus kemajuan negara,” katanya.
Kabinet telah meluluskan wawasan ini setelah menimbang kemampuannya sebagai suatu langkah yang dapat memacu pertumbuhan mampan dan inklusif, dengan membawa masuk teknologi tinggi dan memastikan pengagihan kekayaan yang saksama untuk memastikan kesejahteraan sosio-ekonomi.
“Kerajaan yakin penterjemahan Wawasan Kemakmuran Bersama akan melonjakkan Malaysia sebagai paksi ekonomi serantau.,” kata kementerian itu.
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata pada hari ini bahawa kesenjangan pendapatan yang dikecilkan akan menjadi matlamat utama dasar daripada wawasan yang diperkenalkan itu. – 14 September, 2019.
Komen