PAKATAN Harapan perlu kembali kepada semangat Buku Harapan kerana masih tidak banyak usaha dibuat untuk membantu rakyat terutamanya kumpulan pendapatan rendah, kata Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad.
“Bila kita bercakap tentang Buku Harapan, saya tahu ia sangat kontroversi. Saya fikir mustahak untuk kerajaan untuk kembali kepada semangat Buku Harapan,” katanya pada sebuah forum anjuran Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas).
“Mungkin ada janji dalam Buku Harapan yang tidak boleh dibuat dan saya cukup realistik tentangnya tetapi saya rasa kerajaan tidak cukup komited dalam aspek meningkatkan kumpulan terendah 40 (B40), dalam konteks membantu masyarakat maju ke depan. Saya fikir perkara ini tidak diberikan tumpuan mencukupi,” tambah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR itu lagi.
Nik Nazmi juga berkata kerajaan perlu beralih daripada dasar berdasarkan kaum kepada dasar berdasarkan keperluan untuk pembangunan negara.
Tambahnya, dasar berdasarkan keperluan ini bukan hanya memberi manfaat kepada orang Melayu yang ramai berada dalam kumpulan berpendapatan rendah, tetapi juga Bumiputera lain dan bukan Bumiputera yang turut berada dalam kategori sama.
Walaupun ada perkara dalam Dasar Ekonomi Baru (DEB) dilakukan dengan betul, ia kini sudah tidak relevan, katanya lagi.
“Dasar Ekonomi Baru (DEB) ada kejayaannya sendiri…ia membentuk kelas menengah Melayu dan banyak lagi tetapi kesannya, ia menjadi mangsa kejayaan sendiri kerana dasar itu direka berdasarkan pendekatan kaum,” tambahnya.
Jelasnya, perubahan itu akan mengambil masa kerana tidak ramai pemimpin kerajaan yang tidak yakin ia boleh dibuat.
Pengarah Penyelidikan Ideas Laurence Todd pula berkata terdapat 145 janji dalam manifesto PH yang masih belum tertunai.
Katanya, semua janji ini perlu dipenuhi dahulu sebelum kerajaan boleh memulakan usaha melaksana Wawasan Kemakmuran Bersama diumum Putrajaya.
Situasi itu juga bertambah sukar dengan hutang negara mencecah RM1 trilion dan pendapatan negara yang semakin berkurangan menyebabkan kerajaan tidak mempunyai peruntukan mencukupi, tambahnya. – 19 September, 2019.
Komen