BEKAS setiausaha agung Barisan Nasional (BN) Mohamed Nazri Abdul Aziz mengingatkan Najib Razak supaya jangan melulu menuduh beliau sebagai punca parti itu hilang sokongan pengundi Cina.
Katanya, sebelum menuduh begitu, adalah lebih wajar Najib, yang juga bekas pengerusi BN, menyemak fakta yang betul.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, beliau mengkritik Robert Kuok hanya untuk mempertahankan Najib yang sebelumnya mendakwa tokoh perniagaan itu tidak menyokong kerajaan.
“Kalau ingat, dia (Najib) yang mula-mula buat kenyataan. Dia tuduh Robert Kuok dapat projek kerajaan tapi akhirnya tak sokong kerajaan.
“Kenyataan saya mempertahankan dia. Saya mempertahankan dia,” kata Nazri kepada wartawan di lobi Parlimen.
Nazri juga membela dirinya dengan berkata MCA sebenarnya sudah hilang sokongan daripada masyarakat Cina dan kritikannya terhadap Kuok tidak ada apa-apa kesan pada mereka.
“Pasal MCA, mereka kalah bukan sebab kenyataan saya. Mereka kalah sebab orang Cina tidak sokong mereka,” katanya.
Daripada 31 kerusi (2004) kepada 15 (2008) dan hanya tujuh kerusi pada 2013, MCA kini mempunyai hanya satu kerusi di Dewan Rakyat. Satu kerusi itu diwakili Presidennya Wee Ka Siong iaitu Ayer Hitam.
“Jadi trend masyarakat Cina tidak sokong MCA sudah ada. Kalau tidak pertahankan Najib dengan kenyataannya pasal Robert Kuok pun, mereka kalah juga,” katanya.
Bekas menteri dalam pentadbiran Najib itu menyerang bekas ketuanya selepas Najib dilantik sebagai pengerusi lembaga penasihat BN, langkah yang beliau sifatkan sebagai membawa parti balik ke belakang.
Menurut Nazri, beliau rasa tidak salah mengkritik parti kerana Umno megamalkan demokrasi, dan lagi pula, pelantikan Najib itu dakwanya tidak dirujuk kepada Majlis Tertinggi Umno.
“Ini keputusan (Zahid) dan saya ada hak untuk suarakan pandangan. Tiada siapa boleh sekat saya,” katanya.
Semalam, dalam ucapannya di mesyuarat Umno Bahagian Padang Rengas, Nazri mendakwa Najib sebenarnya mahu jadi pengerusi BN. Katanya, Najib mahu ambil kesempatan apabila sedar BN boleh menang semula pilihan raya umum akan datang, kesan kerjasamanya dengan PAS.
“Mahu jadi PM (perdana menteri) lagi ke? Bagilah peluang kepada anak-anak muda, pimpinan baru, cukuplah,” katanya dalam ucapannya semalam.
Nazri juga mengingatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi bahawa beliau adalah ketua parti dan bukan lagi setiausaha politik Najib.
Zahid pernah jadi setiausaha politik Najib semasa bekas perdana menteri itu memegang jawatan menteri belia dan sukan (1986-1990) dan menteri pertahanan (1990-1995).
Najib dalam reaksi balasnya semalam berkata Nazri punca BN kalah kerana hilang sokongan pengundi Cina.
Beliau juga berkata komponen BN iaitu MCA dan MIC menolak pelantikan Nazri sebagai setiausaha agung BN sebelum ini. – 15 Julai, 2019.
Komen