Najib salahkan Nazri BN hilang sokongan pada PRU14


Penasihat BN Najib Razak berkata Nazri tiada keberanian untuk secara konsisten mengkritik kerajaan Pakatan Harapan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 14 Julai, 2019

NAJIB Razak hari ini menyalahkan Nazri Aziz kerana kehilangan sokongan kepada Barisan Nasional, terutamanya dalam kalangan pengundi Cina pada pilihan raya umum lalu.

Menurut laporan Sinar Harian, bekas perdana menteri itu memberi beberapa contoh tindakan Nazri yang bertentangan dengan kepentingan BN.

“Kita masih ingat lagi Nazri sebelum ini pernah menolak kerjasama dengan Pas ini tidak lama dahulu sebaliknya dia menggesa UMNO untuk bekerjasama dengan DAP dan ketepikan MCA dan MIC.

“Kalau nak sebut soal pilihan raya pula, MCA sebelum ini memaklumkan kepada saya antara sebab undi Cina merosot kerana kritikan keterlaluan beliau terhadap Tan Sri Robert Kuok sehingga menyebabkan orang Cina tersinggung dengan apa yang telah dilakukan oleh beliau,” beliau dipetik sebagai berkata pada program bersama penyokongnya di Batu Kawan, Pulau Pinang hari ini.

Najib berkata demikian sebagai menjawab kritikan Nazri hari ini berhubung pelantikan Najib sebagai penasihat BN. Nazri berkata langkah itu diragui dan telah mempersoalkan sama ada Najib berniat untuk kembali sebagai perdana menteri sekiranya BN memenangi pilihan raya umum akan datang.

Bekas presiden Umno itu turut membidas bekas anggota Kabinet kerana tidak mampu bangkit melawan Pakatan Harapan.

Katanya, Nazri juga boleh menjadi penasihat BN tetapi katanya beliau tiada komitmen untuk menentang PH.

“Nazri atau sesiapa sahaja boleh mainkan peranan sebagai penasihat BN tetapi adakah beliau sanggup untuk secara konsisten mengkritik Harapan?” Najib dipetik sebagai berkata.

Nazri yang juga ahli Parlimen Padang Rengas dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin lantang mengkritik keputusan untuk kembalikan Najib dalam parti. 

Minggu lalu, Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan Najib sebagai penasihat BN. Zahid semalam berkata, tidak salah untuk mempergunakan pengalaman Najib.

Terdahulu hari ini, Nazri dan Khairy sekali lagi mempersoalkan keperluan Umno untuk bergantung kepada Najib dan mengatakan bekas presiden Umno itu sebagai punca kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu.

Najib ketika memberi reaksi terhadap kenyataan itu berkata, rakan dalam BN juga tidak gembira apabila Nazri dijadikan setiausaha agung gabungan itu.

“Kita juga sedia maklum beliau sebelum ini telah diminta oleh MCA dan MIC melepaskan jawatan dia sebagai setiausaha agung BN,” kata Najib.– 14 Julai, 2019
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen