KETUA Umno Bahagian Padang Rengas Nazri Aziz mengingatkan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi agar tidak mengikut telunjuk bekas presiden Najib Razak.
Nazri berkata, sebagai presiden yang dipilih ahli Umno, Zahid perlu menjaga kepentingan parti melebihi kepentingan individu.
“Sebab itu saya nak beritahu Zahid, presiden Umno sekarang, perwakilan pilih kamu untuk jadi presiden Umno, maka kamu buatlah kerja untuk kepentingan parti. Kamu sudah pelopori kerjasama dengan PAS kami bersetuju, maka teruskan. Jangan jadi setiausaha politik kepada Najib.
“Kamu sekarang presiden parti, setiausaha politik Najib itu 30 tahun dulu. Sekarang kamu presiden, kami mahu kamu jaga parti, kepentingan parti, Umno bukan hak milik individu, tidak boleh buat sesuka hati,” katanya, ketika berucap dalam mesyuarat perwakilan Umno bahagian Padang Rengas di Kuala Kangsar, hari ini.
Kenyataan terbaru itu dikeluarkannya selepas mengecam pelantikan Najib sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN).
Menurut Nazri, Zahid membuat keputusan itu tanpa perbincangan dengan pucuk kepimpinan tertinggi Umno.
“Mesti runding dulu. Umno ada Majlis Tertinggi, duduk berbincang, saya tanya naib presiden mereka tidak tahu, MT tak tahu, kita mana ada jawatan pengerusi lembaga penasihat. Tidak ada.
“Presiden Umnolah pengerusi BN, maka segala tanggungjawab atas bahu dia. Nak nasihat kita, nak buat kerja, tanggungjawab dia, sebab itulah saya cukup tidak puas hati,” tegas bekas setiausaha agung BN itu lagi.

Beliau turut menegaskan, pelantikan berkenaan dikhuatiri akan menjejaskan kerjasama antara Umno dan PAS.
“Mesti tanya kepada PAS. Sebab ini sahabat kita. Kalau ambil balik Najib, PAS ok ke, kena tanya. Saya bimbang untuk PAS,” kata Nazri lagi.
Malam tadi, Zahid mengulas kritikan Nazri kepadanya, menyifatkannya bukan untuk menentangnya.
“Tak apalah Nazri seperti adik beradik saya. Saya tak terfikir beliau maksud begitu, tapi apa salahnya kita merangkumkan pemimpin terdahulu bersama dengan kita,” katanya.

Nazri berkata, bantahan itu disuarakannya kerana khuatir perkembangan positif Umno susulan kerjasama dengan PAS akan terencat, ditambah pula dengan sokongan disuarakan Presiden PAS Abdul Hadi Awang kepada Dr Mahathir Mohamad sekiranya undi tidak percaya berlaku di Parlimen.
“Kalau berlaku pertembungan antara Dr Mahathir dan Najib, PAS akan sokong siapa, itu kena tanya juga.
“Jangan sulitkan mereka, tanya kawan-kawan, jangan buat parti macam hak milik persendirian berhad,” kata Nazri lagi.
Bekas menteri Kabinet itu berkata, pelantikan Najib itu juga tidak memberikan sebarang kelebihan kepada parti.
“Bukan kita tak suka individu tapi kerana sayangkan parti. Itu tidak ada kompromi. Kalau PAS kata tak boleh, tetap tak boleh. Bukan sahaja PAS tak ditanya, MT pun tak ditanya. Macam mana tidak ada perasaan marah akar umbi.
“Tidak ada perkembangan baharu kalau beliau jadi pengerusi badan penasihat. Najib tolonglah, bagi peluang kepada Umno.”

Beliau turut mempersoalkan kemampuan Najib memberikan nasihat sedangkan BN kalah buat kali pertama ketika pentadbirannya.
“Dalam pilihan raya umum dulu Najib jadi ketua BN, waktu itu beliau jadi ketua kita dah kalah, apa lagi nasihat nak diberikan kepada kita, kita kecundang.
“Dalam sejarah 61 tahun Umno perintah, kali pertama kalah dalam pilihan raya umum, hilang kerajaan persekutuan, hilang kuasa di beberapa negeri, tinggal dua negeri sahaja, saya tanya ikhlas apa nasihat boleh dia beri walhal waktu dia ketua parti kita kalah.
“Biarlah pimpinan baru yang bawa kita kepada satu perjuangan yang boleh bawa kemenangan kepada kita,” kata Nazri.
Beliau juga mengakui diserang pelbagai pihak susulan bantahannya terhadap pelantikan itu, namun Nazri turut mengingatkan ahli Umno agar kesetiaan seharusnya diberikan kepada parti dan bukan individu tertentu.
“Ahli Umno kena ingat kesetiaan bukan kepada individu. Kalau kepada individu dia bentuk assabiyah. Kita kena wala kepada parti. Kalau dulu saya dikatakan setia kepada Najib bukan kepada Najib, tapi kepada presiden parti.
“Tapi ahli Umno sekarang salahkan saya, saya hanya setia kepada presiden Umno. Dulu sewaktu Dr Mahathir presiden Umno saya setia dengan Dr Mahathir, walaupun saya baik dengan Anwar Ibrahim, beliau nak lawan presiden saya tetap dibelakang presiden iaitu Dr Mahathir.
“Kemudian waktu Pak Lah (Abdullah Badawi) Dr Mahathir lawan Pak Lah, saya tak sokong Dr Mahathir sebab beliau bukan presiden, saya sokong Pak Lah kerana dia presiden, begitu juga waktu Najib presiden. Waktu Dr Mahathir lawan, saya sokong Najib, bukan kerana dia individu.
“Setia kita kepada parti bukan individu. Jadi ahli Umno jangan cepat hukum orang seperti saya, dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kerana kami keluarkan kenyataan begitu kerana kami cinta dan sayangkan parti,” katanya. – 14 Julai, 2019.
Komen