KALANGAN pemimpin Umno mendedahkan, Najib Razak sebenarnya meminta untuk dilantik menjadi pengerusi Barisan Nasional (BN) kerana masih mahu menjadi perdana menteri.
Ketua Umno Padang Rengas Nazri Aziz berkata Najib bagaimanapun hanya diberikan jawatan pengerusi lembaga penasihat gabungan parti tersebut.
Nazri tidak menolak kemungkinan Najib mengambil kesempatan itu apabila melihat prestasi BN yang semakin baik selepas Umno menjalinkan kerjasama dengan PAS.
“Saya tahu jawatan yang dipohon adalah pengerusi BN, bukan pengerusi lembaga penasihat.
“Bermakna bila dia lihat masa hadapan kita cerah dengan kerjasama PAS maka dia mahu ambil kesempatan,” katanya.
Tambahnya, Najib tidak sepatutnya menggunakan kesempatan tersebut untuk kembali menjadi perdana menteri semula.
“Mahu jadi perdana menteri lagi ke? Bagilah peluang anak muda, pimpinan baru. Cukuplah, itu sahaja,” kata Nazri.
Dalam ucapan di mesyuarat perwakilan bahagian Umno tersebut pagi ini, Nazri turut mendedahkan, Najib tidak terlibat dalam menjalin kerjasama dengan PAS.
Jelasnya, usaha menjalin kerjasama itu dipelopori oleh pemimpin selepas era pentadbiran Najib.
“Sebab yang mempelopori kerjasama antara Umno dan PAS adalah pimpinan baru, bukan waktu Najib sebagai presiden.
“Pada peringkat permulaan Zahid Hamidi. Kemudian beliau berehat, disambung Mohamad Hasan, yang mempelopori perkara ini,” katanya.

Menurutnya, Najib juga memanipulasi sifat “malu alah” ahli Umno untuk kembali memimpin parti tersebut sedangkan berdepan puluhan kes di mahkamah.
“Najib faham sifat ahli Umno yang malu alah, sudahlah jangan letak ahli parti dalam keadaan terpaksa, kalau macam ini keputusan pilihan raya kita dah tahu kita kalah.
“Beliau sudah dominasi politik 40 tahun lebih. Bagilah (peluang kepada) orang baru, kesnya banyak setahun tak habis lagi.
“Macam mana dia nak menasihat kalau dengan kes dia yang boleh makan masa 10 tahun. Ada prima facie kes, kena jawab walaupun belum dibuktikan bersalah,” katanya.
Tambahnya, sikap malu alah itu juga menyebabkan Umno kecundang dalam pilihan raya umum tahun lalu kerana pemimpin parti berasa segan untuk menyampaikannya kepada Najib.
Sementara itu, Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut mengesahkan Najib meminta untuk dilantik menjadi pengerusi BN.
“Betul,” kata bekas menteri dalam Kabinet Najib itu lagi secara ringkas ketika sidang media, selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian tersebut. – 14 Julai, 2019.
Komen