Najib dilantik pengerusi Lembaga Penasihat BN


Dewan Tertinggi Barisan Nasional sebulat suara bersetuju melantik Najib Razak sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN. – Gambar The Malaysian Insight, 9 Julai, 2019.

NAJIB Razak dilantik sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional untuk membantu parti itu mendapatkan semula sokongan rakyat, kata Setiausaha Agung Barisan Nasional Tengku Adnan Tengku Mansor.

Pelantikannya diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional malam ini.

“Najib Razak, bekas perdana menteri Malaysia telah dilantik sebulat suara oleh Dewan Tertinggi Barisan Nasional yang bermesyuarat pada malam ini, sebagai pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional.

“Beliau akan menjalankan tugas membantu Barisan Nasional dalam usaha untuk mengembalikan semula sokongan rakyat kepada parti ini,” kata Tengku Adnan dalam satu kenyataan.

Najib, yang juga mantan pengerusi Barisan Nasional turut hadir dalam mesyuarat yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi.

Najib dalam reaksi awalnya menerima pelantikan itu dan mengajak BN bersatu untuk menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan.

“Saya menerima pelantikan sebagai pengerusi Lembaga Penasihat BN. 

“Kita lawan PH bersama. Tumbangkan kerajaan yang hanya mementingkan kroni dan menyusahkan rakyat ini,” tulisnya di Facebook.

BN mempunyai 14 parti gabungan sebelum kalah Pilihan Raya Umum ke-14, prestasinya yang terburuk sejak penubuhannya selepas pilihan raya umum 1969 menggantikan Perikatan. 

Bagaimanapun selepas tidak lagi jadi kerajaan persekutuan, satu demi satu parti komponennya meninggalkan BN sehingga sekarang tinggal hanya Umno, MCA dan MIC – tiga anggota asal yang membentuk Perikatan untuk kemerdekaan pada 1957.

Dalam satu mesyuarat pada awal Mac lalu, MCA dan MIC membuat keputusan kekal dalam BN.

Najib dilantik mengetuai lembaga penasihat BN ketika Umno, tunjang parti itu, sedang memuktamadkan kerjasama politik dengan PAS atas nama perpaduan dan penyatuan Melayu dan Islam.

PAS pernah menjadi anggota BN pada awal 1970-an sebelum krisis perlembagaan yang membawa kepada perisytiharan darurat di Kelantan dan parti Islam itu kemudiannya disingkirkan. – 9 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen