Haziq, dari aktivis mahasiswa ke kancah politik


Nabihah Hamid

Haziq Aziz ditahan polis di Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur, ketika cuba meninggalkan Malaysia berlepas ke Manila. – Gambar fail The The Malaysian Insight, 17 Jun, 2019.

HAZIQ Abdullah Abdul Aziz, lelaki yang menuduh menteri Mohamed Azmin Ali terlibat dalam skandal seks dengannya, menyertai PKR selepas bakat kepimpinannya dikesan daripada kegiatan mahasiswa sekitar 2012.

Semakan The Malaysian Insight dengan beberapa bekas aktivis mahasiswa seangkatan dengannya menemui petunjuk Haziq pernah dekat dengan bekas pemimpin pelajar yang kini menjadi penyokong kuat Azmin.

Malah Haziq pernah terlibat dalam kempen Azmin mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden PKR pada 2014.

Beliau bagaimanapun kemudian dipercayai meninggalkan kem Azmin dan PKR selepas dikatakan tidak mendapat tempat atau jawatan dalam sayap pemuda parti selepas pemilihan lima tahun lalu.

The Malaysian Insight menemu bual 10 bekas aktivis mahasiswa dan mereka yang pernah bergiat bersama Haziq. Sesetengah mereka enggan nama disiarkan tetapi semuanya mengesahkan maklumat yang diperoleh mengenai perjalanan Haziq – daripada seorang aktivis mahasiswa menjadi ahli PKR.

“Haziq yang saya kenal, memang bercita-cita hendak jadi ahli politik. Dia ada keyakinan dan wawasan. Dia jadi aktivis dalam gerakan mahasiswa sejak 2011 lagi.

“Haziq bagi saya memang ada visi untuk jadi ahli politik, tak macam saya yang masih berkira-kira untuk masuk parti,” kata Adam Adli Abdul Halim, aktivis mahasiswa yang dikenali selepas aksinya menurunkan banner potret Najib Razak di luar ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur pada Disember 2011.

Haziq Abdullah Abdul Aziz dalam satu video mengaku beliau lelaki yang melakukan hubungan seks bersama seorang menteri, dan mendakwa video itu dirakamkan di bilik hotel di Sandakan pada 11 Mei. – Gambar Facebook, 17 Jun, 2019.

Bekas presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM), Fahmi Zainol mengingati Haziq sebagai anak muda yang lantang bersuara.

“Saya di UM, satu intake dengan dia. Haziq yang saya kenal seorang yang berani melontarkan pandangan.

“Beliau sangat ke hadapan dan memang ada cita-cita tinggi dalam politik. Idea pun banyak,” kata Fahmi, yang kini exco Pemuda PKR.

Aktivis mahasiswa

Haziq, bersama-sama Adam dan beberapa aktivis mahasiswa lain seperti Safwan Anang dan Khalid Ismath menganjurkan tunjuk perasaan mendesak kerajaan memansuhkan pinjaman pendidikan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Dataran Merdeka pada 14 April, 2012.

Dalam satu forum menjelang tunjuk perasaan itu, Haziq ketika itu setiausaha Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), menggesa mahasiswa berjuang untuk mengubah negara. Beliau membangkitkan isu pendidikan percuma, kebebasan media serta Malaysia yang bebas rasuah.

“Kita hendak perubahan. Kita semua bergerak bawa perubahan. Kalau kita senyap dan sekadar tunduk, perubahan tidak akan datang.

“Pada 14 April (2012) anak muda akan berikrar untuk selamatkan Malaysia, negara daripada kezaliman pemerintah yang gagal,” katanya, seperti dilihat dalam video Pidato Mahasiswa Malaysia Bangkit di YouTube.

Selepas tunjuk perasaan tersebut, Haziq yang ketika itu belajar undang-undang di Universiti Malaysia digantung pengajian selama satu semester pada September 2012.

Sumber memberitahu The Malaysian Insight, Haziq mula menyertai gerakan mahasiswa pada 2010. Beliau menyertai Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI) dan dibentuk oleh presidennya pada masa itu, Hilman Idham sebagai pemimpin pengganti.

Hilman sekarang setiausaha politik kepada Azmin.

Hilman minggu lalu membuat laporan polis terhadap Haziq selepas pengakuannya menuduh menteri hal ehwal ekonomi itu terlibat dalam rakaman seks yang tersebar.

Hilman turut menafikan tuduhan Haziq bahawa beliau mengugutnya untuk menarik balik tuduhan terhadap Azmin.

Hilman membuat laporan polis kedua mendakwa Haziq mengaku dirinya mangsa politik kotor. Polis memanggil Hilman memberikan keterangan atas laporan kedua itu hari ini (Isnin, 17 Jun).

“Hilman yang mula perasan kepimpinan Haziq, maka dia rekrut Haziq (menyertai KAMI) dan terus aktif dalam gerakan mahasiswa. Mereka rapat,” kata sumber yang maklum perkembangan gerakan mahasiswa angkatan itu.

Haziq menggantikan Hilman untuk mengemudi Mahasiswa Keadilan Malaysia dan terus aktif dalam gerakan pelajar di kampus dan dalam politik negara.

Pemilihan PKR 2014

Semasa mengetuai Mahasiswa Keadilan Malaysia, Haziq terlibat langsung dengan pemilihan PKR pada 2014. Beliau bersama kem yang menyokong Azmin mempertahankan jawatan sebagai timbalan presiden parti.

“Haziq membantu kempen dan terlibat dalam beberapa majlis kempen sebelum dan semasa pemilihan.

“Dia pernah jadi pengacara majlis dalam satu wacana bersama Azmin pada Jun 2013,” kata seorang sumber.

Wacana itu membincangkan ucapan dasar Azmin bertajuk Laksana Satu Nyawa semasa Kongres PKR sebulan sebelum itu. Pada masa itu, ucapan Azmin dan wacana tersebut dilihat antara gerakan awal kempen menjelang pemilihan parti beberapa bulan kemudian.

Haziq Aziz dikatakan pernah terlibat dalam kempen Azmin Ali mempertahankan jawatannya sebagai timbalan presiden PKR pada 2014. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2019.

Azmin yang mempertahankan jawatan timbalan presiden yang disandangnya sejak 2010 mendapat sokongan daripada kumpulan dalam Pemuda PKR yang menamakan diri sebagai AMK Baru.

Kumpulan itu diketuai Amiruddin Shari (sekarang menteri besar Selangor) sebagai calon ketua sayap. Amiruddin berganding dengan Dr Afifi Bahardin yang bertanding jawatan timbalan ketua pemuda.

Dalam kempennya, Amiruddin antara lain berjanji menyerapkan Mahasiswa Keadilan Malaysia ke dalam struktur utama Pemuda PKR, dan presidennya dilantik automatik sebagai exco sayap.

Amiruddin kalah pemilihan kepada Nik Nazmi Nik Ahmad tetapi Dr Afif menang sebagai timbalan ketua. Janji Mahasiswa Keadilan Malaysia diserapkan ke dalam parti dan ketuanya jadi exco Pemuda PKR tidak jadi nyata.

Sejak itu, haluan politik Haziq berubah, kata sumber.

“Ada konflik yang berlaku membuatkan Haziq tidak lagi bersama ‘kartel’,” kata sumber, merujuk gelaran yang diketahui umum dalam PKR dan di luar PKR sebagai penyokong Azmin.

“Selepas Amirudin kalah pemilihan Pemuda PKR, Haziq sukar dapat tempat dalam parti.”

Cita-cita tinggi

Dalam pada itu, Habib Mazlan, seorang lagi kenalan sejak mahasiswa berkata beliau kenal Haziq sebagai seorang yang bercita-cita tinggi dan berfikiran jauh.

“Dia mula senyap selepas pemilihan PKR 2014. Saya dengar masa itu dia ikut program pertukaran pelajar di Amerika Syarikat,” katanya.

Haziq tersenarai sebagai peserta program pertukaran pelajar anjuran Malaysian-American Commission on Educational Exchange bagi tahun 2014-2015. Beliau ketika itu ditempatkan di University of Missouri-Columbia.

Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin pada satu sidang media berkenaan setiausaha sulit kanannya Haziq Aziz, baru-baru ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2019.

Haziq kemudian dikatakan mahu keluar PKR pada 2016. Namun setiausaha agung PKR dipetik oleh Malaysiakini berkata Haziq tidak pernah menghantar surat keluar parti.

Pada 2017, beliau terpilih menyertai program Fellow Perdana iaitu program latihan kepimpinan untuk graduan cemerlang yang ditempatkan di pejabat menteri.

Haziq, yang berasal dari Sarawak, ditempatkan di pejabat menteri di Jabatan Perdana Menteri pada masa itu, Nancy Shukri, yang juga hli Parlimen Batang Sadong.

Haziq malah membantu kempen Nancy semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), mempertahankan kerusi Parlimen itu.

Tetapi selepas Pakatan Harapan menang Putrajaya, Haziq mula kembali aktif dalam PKR. Beliau juga ikut bertanding dan berkempen untuk pemilihan parti tahun lalu.

“Beliau berkempen dan menyertai kem Najwan Halimi (calon ketua pemuda). Beliau mengumumkan secara terang-terangan menyokong Najwan,” kata sumber.

Najwan, yang juga Adun Kota Anggerik, sekarang ketua Pemuda PKR Selangor.

Sumber berkata Haziq turut berkempen membawa nama Shamsul Iskandar Mohd Akin bertanding jawatan naib presiden. Shamsul kalah. Namun, beliau ketika itu sudah ada jawatan kerajaan sebagai timbalan menteri industri utama.

Hampir dua bulan selepas tamat pemilihan parti, Shamsul Iskandar melantik Haziq sebagai setiausaha sulit kanannya.

“Jika diikutkan antara aktivis mahasiswa, dia yang paling maju… jadi setiausaha sulit timbalan menteri.

“Kalau kami ini (yang seangkatan) adalah yang jadi pegawai biasa pada YB, tidak seperti dia,” kata Fahmi.

Bagaimanapun pada Khamis lalu, Haziq digantung tugas di pejabat timbalan menteri itu selepas membuat tuduhan Azmin terlibat mengadakan hubungan seks dengannya.

Esoknya, beliau ditahan polis di Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur, ketika cuba meninggalkan Malaysia berlepas ke Manila.

Menurut polis, Haziq ditahan bagi membantu siasatan mengikut Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan hubungan seks di luar tabii (Seksyen 377B), menyebar bahan lucah (Seksyen 292), dan mengaibkan dengan niat memecahkan keamanan (Seksyen 504).

Beliau juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan atau perkhidmatan rangkaian. – 17 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen