Haziq digantung tugas setiausaha timbalan menteri


Nabihah Hamid

Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, setiausaha sulitnya Haziq Abdullah Abdul Aziz akan digantung tugas serta merta susulan pengakuan terlibat dalam rakaman video lucah melibatkan menteri yang tersebar kelmarin. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Jun, 2019.

HAZIQ Abdullah Abdul Aziz digantung tugas serta merta dari jawatannya sebagai setiausaha sulit kanan kepada Timbalan Menteri Industri Utama, Shamsul Iskandar Mohd Akin susulan pengakuan terlibat dalam rakaman video lucah yang didakwa melibatkan menteri yang tersebar kelmarin.

Kontrak perkhidmatannya juga akan ditamatkan jika gagal membalas surat tunjuk sebab sehingga esok, kata Shamsul lagi. 

“Beliau diarah menjawab surat tunjuk sebab dalam tempoh 3 hari daripada tarikh 12 Jun,” katanya pada sidang media di kementeriannya di Putrajaya hari ini. 

Dalam pada itu, ditanya perasaannya susulan apa yang berlaku sejak kelmarin, Shamsul berkata beliau keliru dan terkejut.

Katanya, beliau tidak melihat sebarang perwatakan pelik Haziq sepanjang 6 bulan bertugas di pejabatnya.

“Saya blur. Di media sosial macam-macam yang diperkatakan tetapi sebagai orang yang melantik dia, sudah tentu saya bingung,” katanya lagi.

Shamsul turut mempertahankan keputusannya melantikan Haziq sebagai pegawainya pada Januari lalu.

Shamsul yang baru pulang dari Myanmar semalam berkata, beliau kali terakhir berhubung dengan Haziq pada Selasa lalu atas urusan kerja.

Selepas itu, Haziq tidak lagi dapat dihubungi, katanya, untuk mendapatkan penjelasan mengenai pengakuan yang dimuat naik ke akaun Facebook beliau semalam.

Katanya, beliau mengirimkan mesej kepada Haziq melalui WhatsApp mahu berjumpa di pejabat tetapi setiausahanya itu tidak membalas.

Menurut Shamsul, beliau juga difahamkan Haziq tidak berhubung dengan keluarganya.

“Saya difahamkan keluarga mengatakan tidak ada komunikasi dengan beliau. Mereka tidak tahu Haziq berada di mana dan tentulah keluarga beliau sedih dengan apa yang berlaku,” katanya lagi.

Penggantungan Haziq diumumkan beberapa jam selepas tuduhan baru muncul di Facebook hari ini mendakwa ketua Pemuda PKR Santubong itu melakukan seks beberapa kali dengan Azmin sejak tiga tahun lalu.

Dakwaan itu dimuatkan di akaun sama yang menyiarkan satu rakaman didakwa sebagai pengakuan Haziq melakukan seks dengan Azmin.

Setiausaha Politik kepada Azmin Hilman Idham hari ini membuat laporan polis serta laporan jenayah qazaf di pejabat pihak berkuasa agama Wilayah Persekutuan di Putrajaya berhubung klip video yang tersebar dan rakaman pengakuan Haziq. – 13 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen