Tiada salah lantik Haziq jadi setiausaha, kata Shamsul Iskandar


Nabihah Hamid

Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin mempertahankan pelantikan Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai setiausahanya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Jun, 2019.

TIMBALAN Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin tidak nampak ada sebarang masalah dengan keputusannya melantik Haziq Abdullah Abdul Aziz sebagai setiausaha sulit kanan walaupun pernah dikaitkan dengan menteri Barisan Nasional (BN).

Shamsul Iskandar mempertahankan pelantikan pegawainya itu ketika ada dalam kalangan ahli PKR menuduh beliau cuai membenarkan bekas penyokong BN menyusup dan mengucar-kacirkan parti.

Haziq yang semalam mengaku berhubungan seks dengan Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali pernah bertugas dengan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

“Saya difahamkan bahawa beliau (Haziq) tidak pernah mengganggotai parti yang dianggotai Nancy. Beliau terlibat salah seorang daripada felo perdana dan bertugas dengan bekas menteri tersebut.

“Saya fikir felo perdana itu tentunya sebagai satu tempat untuk beri ruang kepada orang muda seperti beliau untuk mencungkil bakat.

“Tiada masalah di sini,” katanya pada sidang media di pejabatnya di Putrajaya, hari ini.

Shamsul Iskandar mengadakan sidang media untuk mengumumkan penggantungan tugas Haziq dan pengeluaran surat tunjuk sebab susulan pengakuan yang beliau adalah individu dalam rakaman seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, semalam.

Kontrak perkhidmatan Haziq akan ditamatkan jika gagal membalas surat tunjuk sebab sehingga esok, kata Shamsul Iskandar.

Haziq, yang juga ketua Pemuda PKR Santubong menyertai program Felo Perdana pada 2017 dan ditempatkan di pejabat Nancy, yang juga ahli Parlimen Batang Sadong.

Sumber PKR di Sarawak memberitahu Haziq menyertai kempen pilihan raya Nancy pada pilihan raya umum yang lalu. Beberapa foto Haziq bersama Nancy dipercayai semasa program bekas menteri itu turut tersebar di media sosial sejak semalam.

The Malaysian Insight difahamkan Haziq menyertai PKR selepas PRU14 dan merupakan antara ahli baharu yang mendapat pelepasan khas presiden parti untuk bertanding dalam pemilihan parti tahun lalu.

Semalam, beberapa orang kawan Haziq semasa di universiti dilaporkan terkejut beliau menyertai pejabat timbalan menteri kerajaan di bawah Pakatan Harapan selepas menyokong BN dalam PRU14 lalu.

Shamsul Iskandar, yang juga ketua penerangan PKR berkata, beliau melantik Haziq selepas melalui proses temuduga jawatan.

Katanya, beliau maklum tentang penglibatan Haziq sebagai aktivis mahasiswa dan felo perdana serta mempunyai kelayakan dari segi akademik.

Mengenai prestasi kerja Haziq, Shamsul Iskandar mengakui setiausaha sulitnya itu komited pada tugas.

“Dia tiada masalah. Tiada dengar aduan daripada KSU (ketua setiausaha kementerian). Dia profesional,” katanya lagi.

Haziq berkhidmat sebagai setiausaha sulit kanan kepada Shamsul Iskandar sejak Januari lalu.

Semalam, biro politik PKR yang bermesyuarat memberi mandat kepada timbalan menteri itu untuk menentukan kedudukan pegawainya susulan tuduhan ke atas timbalan presiden parti itu.

PKR semalam juga menegaskan menolak budaya politik kotor dan menggesa penyebaran video intim yang dikaitkan dengan Azmin dihentikan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad semalam menyifatkan penyebaran klip video yang dikaitkan dengan Azmin bermotifkan politik. – 13 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen