Haziq mengaku mangsa politik kotor, dakwa pegawai Azmin


SETIAUSAHA politik menteri hal ehwal ekonomi menafikan dakwaan Haziq Abdullah Abdul Aziz yang mendakwa diugut ketika perjumpaan mereka di sebuah hotel di Putrajaya.

Muhammad Hilman Idham berkata Haziq membuat laporan polis palsu dengan dakwaan itu.

“Saya ingin menafikan sekeras-kerasnya laporan tersebut dan ingin menegaskan bahawa laporan tersebut adalah laporan palsu. 

“Dalam pertemuan tersebut, Haziq telah menyatakan kepada saya bahawa beliau adalah mangsa permainan politik kotor untuk menjatuhkan Azmin Ali. Beliau juga menyatakan bahawa video tersebut palsu dan menafikan beliau adalah karakter dalam video tersebut,” katanya dalam satu kenyataan.

Hilman berkata beliau sudah membuat satu lagi laporan polis di Putrajaya terhadap laporan polis dibuat Haziq di Kelana Jaya.

Tambah Hilman, Haziq mahu berjumpa keluarganya dan mendapatkan pandangan mereka tentang perkara ini.

“Saya bersetuju dan meminta beliau bersabar. Malah, saya menasihatkan beliau bahawa dalam menghadapi fitnah begini, keluarga adalah elemen penting yang harus dipelihara perasaan dan maruahnya,” kata Hilman lagi

Semalam dalam satu tulisan di akaun Facebook Haziq, Hilman didakwa dihantar Azmin bertemu Haziq memintanya untuk berbohong dan menafikan yang beliau dan menteri itu adalah individu dalam video seks yang tersebar pada Selasa.

Haziq kemudian mengulangi dakwaan sama dalam satu laporan polis yang dibuat di Balai Polis Kelana Jaya.

Haziq digantung tugas sebagai setiausaha sulit kanan kepada Shamsul sementara menunggu tunjuk sebab yang diberikan kepadanya sehingga hari ini.

Azmin kelmarin menafikan tuduhan bahawa beliau adalah lelaki dalam video intim yang tersebar, yang beliau sifatkan cubaan kejam dan jahat untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

PKR juga menegaskan menolak budaya politik kotor dan menggesa penyebaran video intim yang dikaitkan dengan Azmin dihentikan.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad juga menyifatkan penyebaran klip video yang dikaitkan dengan Azmin bermotifkan politik. – 14 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen