KETUA Pemuda PKR Santubong Haziq Abdul Aziz membuat laporan polis hari ini bagi mempertahankan diri daripada tuduhan beliau mempunyai agenda politik dengan menggunakan video seks terhadap menteri kabinet.
Laporan dibuat di Balai Polis Kelana Jaya petang ini disahkan oleh Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Fadzil Ahmat kepada The Malaysian Insight.
Haziq turut memuat naik salinan laporan berkenaan di Facebook di bawah namanya, dengan kapsyen: “Kamu boleh cakap apa sahaja yang kamu mahu tetapi saya tidak pernah dibesarkan sebagai penipu.”
Menggunakan nama penuhnya Haziq Abdullah Abdul Aziz dalam laporan berkenaan, beliau mengulangi kenyataan yang dibuat pada posting di akaun Facebook yang sama, menggelar Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali sebagai “sick man” kerana merakam aksi seksual tanpa kebenarannya.
Beliau memulakan laporan polis itu dengan menyatakan beliau mahu menafikan dakwaan “netizen, cybertrooper, Hilman Izham dan lain-lain”
Hilman merupakan setiausaha politik kepada Azmin, yang mana Haziq sebelum ini menuduh Hilman bertemu dan memaksanya untuk berbohong dan menafikan yang beliau dan Azmin adalah individu dalam video seks yang tersebar pada Selasa.
Haziq mengulangi tuduhan terhadap Hilman dalam laporan polis berkenaan, dan menyatakan mereka mengadaan pertemuan di sebuah restoran di Marrtiot Putrajaya yang mana Hilman cuba memaksanya berbohong dan mengancamnya selepas beliau enggan berbuat demikian.
Semalam, Azmin menafikan dirinya merupakan individu dalam video seks berkenaan dan menyifatkan ia sebagai plot untuk menghancurkan karier politiknya.
Hari ini, Azmin yang juga timbalan presiden PKR ketika ditanya sama ada beliau mengenali Haziq berkata, beliau hanya mengenali lelaki yang berasal dari Sarawak itu “dari jauh” dan menyatakan penglibatannya dengan Barisan Nasional sebelum menyertai PKR selepas Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum tahun lalu.
Sehingga kini, Haziq gagal dihubungi oleh wartawan yang cuba bercakap dengan beliau.
Beliau telah digantung daripada jawatan sebagai setiausaha sulit kepada Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Akin, dan mempunyai tempoh sehingga esok untuk menjawab surat tunjuk sebab atau akan dipecat. – 13 Jun, 2019
Komen