Hilman akui jumpa Haziq, beri ruang polis siasat


Hilman Idham, setiausaha politik kepada Mohamed Azmin Ali bercakap kepada media selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 Jun, 2019.

SETIAUSAHA politik kepada Mohamed Azmin Ali, Hilman Idham mengaku ada berjumpa dengan Haziq Abdullah Abdul Aziz, pemuda yang membuat pengakuan melakukan hubungan seks dengan menteri hal ehwal ekonomi itu.

Beliau yang juga timbalan ketua Pemuda PKR bagaimanapun enggan mendedahkan perbincangan mereka sebaliknya menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Betul (ada bertemu Haziq). Tidak apa, saya dah serahkan semua maklumat itu kepada polis dan kita beri ruang polis siasat,” katanya kepada wartawan selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya hari ini.

Hilman diminta mengulas tulisan di Facebook milik Haziq yang mendakwa Azmin menggunakan seorang setiausahanya untuk mengancam dan memaksa beliau menafikan hubungan seks berkenaan.

Tulisan itu mendakwa Hilman bertemu dengan Haziq di sebuah restoran di Putrajaya.

“Dia paksa saya untuk menafikan diri saya dalam video yang tular itu dan meminta saya berbohong untuk dirinya.

“Saya mohon lebih masa untuk merujuk kepada ibu bapa saya dan ini menimbulkan kemarahannya.

“Selepas saya menolaknya, dia membuat ugutan dan berkata ‘ini’ akan berakhir dalam 48 jam dengan atau tanpa bantuan saya untuk berbohong,” kata tulisan itu.

Akaun Facebook yang sama semalam menyiarkan rakaman video didakwa pengakuan Haziq mengenai hubungan seks dengan Azmin.

Ia susulan penyebaran rakaman video menunjukkan perbuatan seks dua lelaki melalui beberapa kumpulan sembang dalam aplikasi WhatsApp kelmarin.

Haziq bagaimanapun sehingga ini tidak dapat dikesan sejak rakaman pengakuannya tersebar awal pagi semalam.

Selain laporan polis, Hilman juga hari ini membuat aduan jenayah qazaf di pejabat Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan di Putrajaya.

“Saya kira laporan dah mencukupi untuk membolehkan kertas siasatan dibuka,” kata Hilman yang mahu pihak berkuasa segera menyiasat dakwaan yang tersebar.

Semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penyebaran klip video yang dikaitkan dengan Azmin bermotifkan politik. – 13 Jun, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen