Warga Utusan mahu Aziz kembali jadi penyelamat


Nabihah Hamid

Warga Utusan mahukan Aziz Sheikh Fadzir kembali ke syarikat tersebut bagi menyelamatkan operasinya, Utusan, nama besar kewartawanan Malaysia berdepan masalah kewangan kritikal sehingga gagal membayar pampasan kepada bekas pekerjanya. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Januari, 2019.

Bekas kakitangan Utusan Malaysia mengalu-alukan Aziz Sheikh Fadzir kembali menjadi pengerusi syarikat yang kini bergelut dengan beban kos operasi dan hutang.

Bekas penolong ketua pengarang Zaini Hassan berkata, mereka berpendapat Aziz lebih tahu cara menyelamatkan syarikat.

Ini memandangkan, Aziz bertanggungjawab memulakan program pemulihan syarikat Kumpulan Utusan Melayu Berhad itu, kata Zaini.

“Biar dia mulakan dan selesaikan. Dia sudah tahu selok belok dan masalah besar utusan,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Zaini merupakan salah seorang bekas kakitangan Utusan yang mengambil skim pemberhentian sukarela (VSS).

Aziz pada pagi semalam bertemu wakil bekas kakitangan yang mengambil skim berkenaan selain bermesyuarat dengan ketua jabatan Utusan.

Seramai 700 bekas pekerja yang berhenti kerja secara VSS sejak November sehingga kini masih belum menerima bayaran pampasan pertama berjumlah dua bulan gaji.

Beliau juga menerima petisyen ditandatangani kira-kira 300 kakitangan yang meminta Aziz meneruskan tugas sebagai pengerusi syarikat.

Petisyen berkenaan diusahakan oleh Gerakan Utusan Prihatin yang terdiri daripada pekerja kumpulan Utusan dari pelbagai jabatan.

“Hampir 300 tandatangan berjaya dikumpul dalam masa dua hari. Kita mahu Datuk Aziz kembali untuk selesaikan masalah dan mencerahkan semula masa depan. 

“Kita harap beliau akan fikirkan. Kami berjumpa tengahari tadi dan bersurai 12.30 tengah hari,” kata salah seorang pekerja yang turut sama menyampaikan petisyen tersebut. 

Petisyen diserahkan oleh wakil Gerakan, Aznan Bakar, pengarang Utusan Online yang turut hadir bagi menyertai mesyuarat bersama Aziz di Utusan.

“Petisyen ini juga akan diserahkan kepada Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan dan ahli lembaga Kumpulan Utusan,” kata satu sumber lain.

Petisyen diserahkan oleh wakil Gerakan, Aznan Bakar, pengarang Utusan Online kepada Aziz Sheikh Fadzir semalam. – Gambar The Malaysian Insight, 1 Januari, 2019.

Sementara itu, Setiausaha Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Basir Abu Bakar berkata siapa pun yang menerajui akhbar itu perlu komited dengan usaha menyelamatkan Utusan.

“Individu yang layak ialah yang bagi 100% tumpuan ke atas Utusan. Beliau juga perlu fokus pada penjualan aset untuk selesaikan isu VSS dan bayaran-bayaran tertunggak lain. 

“Individu itu juga perlu fokus kepada bisnes digital dan akhbar,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Selain gagal membayar pampasan VSS kepada bekas kakitangan, Utusan minggu ini sekali lagi gagal membayar gaji kakitangan mengikut masa, 

The Malaysian Insight diberitahu oleh kakitangan, mereka masih belum menerima gaji bagi Disember yang sepatutnya dibayar semalam. 

Gaji mereka difahamkan akan dibayar sebelum 7 Januari, mengikut peruntukan Akta Pekerjaan 1955, kata sumber di syarikat akhbar itu.

Syarikat itu kini menanggung kos operasi dengan hasil daripada jualan aset yang masih ditunggu pembayarannya daripada pembeli.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Mahfuz Omar berkata Utusan boleh dikenakan tindakan sekiranya gagal mematuhi perjanjian VSS dengan bekas kakitangannya.

Utusan kini berstatus PN17 atau syarikat yang menghadapi masalah kewangan selepas gagal membayar hutang terkumpul hampir RM1.2 juta kepada dua bank.  

Ia pernah beberapa kali terlewat membayar gaji kakitangannya sepanjang 2018 sehingga kesatuan sekerja mengugut akan berpiket

Pada Sabtu, Aziz dilapor memendekkan cuti bersama keluarga di Eropah untuk pulang ke Malaysia membincangkan penyelesaian masalah kewangan Utusan.

Seorang sumber lain memberitahu The Malaysian Insight, pelantikan semula Aziz sudah dipersetujui pemangku presiden Umno, Mohamad Hasan. Umno memegang saham terbesar Utusan sebanyak 49.77%.

The Malaysian Insight difahamkan Aziz memberi tempoh kepada Umno sehingga sebelum pertengahan Januari untuk membuat keputusan sama ada mahu patah balik atau tidak jadi pengerusi Utusan. – 1 Januari, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen