KONGRES PKR yang dijadual pada hujung minggu ini akan diteruskan, kata pengarah komunikasi parti, Fahmi Fadzil, selepas biro politiknya mengesahkan keputusan tiga cabang yang sebelum ini digantung
Keputusan pemilihan cabang-cabang yang disahkan ialah Julau di Sarawak serta Tawau dan Pensiangan di Sabah.
“Biro Politik PKR mengambil pendirian untuk menerima keputusan Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) bagi Cabang Julau, Pensiangan dan Tawau.
“Kongres AMK (Angkatan Muda Keadilan), Wanita dan Pusat akan diteruskan pada 16 (hingga) 18 November 2018 seperti yang diumumkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Mesyuarat Biro Politik PKR malam ini sekaligus mengesahkan keputusan sama yang dibuat JPP dalam mesyuaratnya semalam.
Bakal Presiden PKR Anwar Ibrahim awal hari ini berkata pemilihan parti itu, yang berdepan pelbagai kontroversi dan masalah teknikal, akan diteruskan.
Beliau bagaimanapun berkata segala kontroversi dan masalah yang timbul sepanjang pemilihan sejak 22 September lalu akan disiasat dengan telus.
Biro politik yang bermesyuarat malam ini juga memberi komitmen parti akan bekerjasama penuh dengan agensi penguatkuasa yang menyiasat perjalanan pemilihan PKR termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Polis Di-Raja Malaysia (PDRM), dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Polis awal hari ini memaklumkan akan meneruskan siasatan terhadap proses pemilihan PKR di Julau.
Keputusan Julau tertangguh sebelum ini selepas polis merampas beberapa unit peranti yang digunakan dalam proses pemilihan selepas ada dakwaan sistem pengundian elektronik itu digodam.
Polis juga menahan Ketua Unit Sistem dan Data JPP, Alvin Teoh Kong Seng yang disoal siasat selama empat jam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Keputusan bagi cabang Tawau dan Pensiangan pula tertangguh kerana data pengundian semula yang diadakan pada Ahad bercampur dengan data pengundian asal hujung minggu sebelumnya.
Sementara itu, Biro Politik PKR turut mengarahkan JPP untuk segera menyelesaikan isu undi ragu dengan memanggil wakil calon-calon timbalan presiden Mohamed Azmin Ali dan Rafizi Ramli untuk memantau proses pengesahan.
Mengenai isu undi hilang yang dibangkitkan calon ketua AMK, Akmal Nasir, Biro Politik mengambil ketetapan mengarahkan syarikat Baker Tilly yang mengesahkan integriti sistem pemilihan untuk menyiasat dan memberikan maklum balas segera.
PKR juga akan melantik sebuah syarikat audit untuk menjalankan audit bebas ke atas seluruh proses pemilihan ini, tambah Fahmi.
Kongres PKR hujung minggu ini akan mengesahkan keputusan pemilihan yang berakhir hujung minggu lalu. – 13 November, 2018.
Komen