POLIS akan meneruskan siasatan ke atas dakwaan tablet yang digunakan untuk e-voting pada pemilihan PKR cabang Julau Sabtu lalu diganggu walaupun parti itu hari ini menerima keputusan pemilihan dan menyatakan semua undi yang dibuat diterima.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Mustafa Kamal Gani Abdullah memberitahu The Malaysian Insight mereka kini perlu mengambil keterangan pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) PKR Rashid Din selepas beliau mengeluarkan kenyataan hari ini bahawa jawatankuasa itu menerima penjelasan daripada juruteknik komputer yang mengendalikan sistem e-voting dan penafian daripada syarikat perisian yang berpangkalan di Amerika Syarikat bahawa aplikasi “Prey” mereka tidak akan menghapuskan data di dalam peranti ia dimuat turun.
Calon timbalan presiden Rafizi Ramli dan ahli JPP, yang membuat laporan polis pada jam 4.42 pagi di Damansara pada Ahad, mendakwa aplikasi Prey itu adalah malware dan boleh menghilangkan semua data dalam peranti yang memuat turunnya.
Empat laporan polis dibuat pada Sabtu dan Ahad berhubung dakwaan itu.
Sementara itu Rodziah Ismail yang menyokong Rafizi Ramli dan bertanding bagi jawatan timbalan ketua Wanita, membuat laporan di Balai Polis Julau pada petang Sabtu dan menyatakan beliau mengesyaki sistem jawatankuasa pemilihan pusat parti itu dan ketua unit IT Alvin Teoh memuat naik aplikasi berkenaan.
Mustafa berkata beliau akan terbang ke Kuala Lumpur “sebaik sahaja saya boleh mendapatkan janji temu” untuk menyoal Rashid.
Beliau juga berkata tablet ” yang diganggu” itu masih belum dihantar ke makmal forensik digital di Kuala Lumpur untuk ujian.
“Kami mungkin dapat melengkapkan siasatan dalam tempoh tiga hingga empat hari,” kata Mustafa.
Beliau berkata kertas siasatan yang lengkap akan dikemukakan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya seperti biasa.
Rashid berkata keputusan untuk mempertahankan keputusan pemilihan cabang Julau adalah berdasarkan kepada “analisis pengiraan undi yang menunjukkan bahawa semua data selamat dan berjaya dimuat naik ke penyimpanan awan walaupun data pada enam tablet didapati telah dihapuskan melalui aplikasi Prey”.
Keputusan pemilihan Julau digantung setelah polis merampas beberapa tablet. – 13 November, 2018
Komen