JAWATANKUASA Pemilihan Pusat (JPP) PKR menerima keputusan pemilihan cabang Julau di Sarawak, yang sebelum ini digantung selepas ada dakwaan sistem pengundian elektroniknya digodam.
Pengerusinya Rashid Din berkata, tiada undi di Julau yang tercicir daripada sistem walaupun katanya aplikasi e-undi pada enam peranti “disapu bersih oleh perisian Prey Anti-Theft”.
Prey Inc, syarikat yang membangunkan perisian itu berpangkalan di San Francisco, dalam satu kenyataan menafikan tuduhan tersebut.
“Pemilihan cabang Julau tidak akan diadakan semula,” kata Rashid dalam satu kenyataan hari ini.
JPP memutuskan demikian selepas bermesyuarat semalam dan mendengar penjelasan daripada pegawai-pegawai parti yang terlibat dalam urusan pemilihan. Mesyuarat itu juga mengambil kira laporan teknikal pihak yang membangunkan sistem e-undi tersebut.
Keputusan Julau tertangguh sebelum ini selepas polis merampas beberapa unit peranti yang digunakan dalam proses pemilihan selepas ada dakwaan sistem pengundian elektronik itu digodam.
Polis juga menahan Ketua Unit Sistem dan Data JPP Alvin Teoh Kong Seng yang disoal siasat selama empat jam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Hasil mesyuarat yang sama, JPP juga menerima keputusan cabang Tawau dan Pensiangan di Sabah, yang mengadakan pemilihan semula hujung minggu lalu tetapi digantung keputusannya kerana masalah teknikal.
Semua keputusan tiga cabang itu akan dimuat naik di portal rasmi pemilihan PKR dalam masa terdekat, kata Rashid.
Beliau berkata keputusan bagi cabang Tawau dan Pensiangan bagaimanapun akan mengambil sedikit masa kerana perlu data pengundian semula kelmarin bercampur dengan data pengundian asal pada 3 November lepas.
Sementara itu, JPP menolak semua undi ragu iaitu undi daripada mereka yang tiada dalam daftar ahli sah, kecuali terhad untuk jawatan kepimpinan cabang yang keputusannya terikat seri atau majoriti tipis saja.
Keputusan beberapa negeri sebelum ini tidak dimuktamadkan kerana terdapat aduan daripada calon mempertikaikan undi ragu.
JPP perlu memuktamadkan seluruh keputusan pemilihan PKR sebelum mengesahkannya dalam kongres parti itu yang dijadualkan berlangsung di Shah Alam, hujung minggu ini. – 13 November, 2018.
Komen