JPP kesan serangan siber dalam pemilihan cabang Julau


Nabihah Hamid

Pengarah JPP Rashid Din berkata keputusan hanya akan diumumkan apabila tablet yang terjejas akibat serangan siber itu dapat dipulihkan kembali. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2018.

JAWATANKUASA Pemilihan Pusat (JPP) PKR mengesan sebanyak 10 tablet yang digunakan untuk pemilihan di cabang Julau didapati dicerobohi pihak tertentu.

Pengarah JPP Rashid Din berkata keputusan hanya akan diumumkan apabila tablet yang terjejas akibat serangan siber itu dapat dipulihkan kembali. 

Pihak JPP juga akan membuat laporan polis mengenai pencerobohan data tersebut, katanya.

“Kini ada beberapa tablet yang terjejas. Jadi kita putuskan untuk gantung sementara pemulihan sekurang-kurangnya empat tablet. 

“Lepas ini akan selaras data semula selepas habis proses pemulihan. Kita juga sedang siasat sama ada serangan siber seperti ini juga berlaku di tempat lain yang turut mengadakan pemilihan pada hari ini.

“Pihak JPP Julau akan buat laporan polis mengenainya (pencerobohan),” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insight. 

Rashid dalam kenyataannya menyebut unit sistem dan teknologi maklumat itu mengsan e-undi di Pusat Pemilihan di Julau gagal berfungsi seperti biasa pada jam 2 petang.

“Semasa melakukan pemeriksaan, didapati 10 unit tablet e-undi yang digunakan pada waktu itu telah dicerobohi perisian ‘Prey Anti-Theft’.

“Laporan dihantar bagi mendapatkan maklum balas Pasukan Keselamatan Siber JPP di Petaling Jaya,” kenyataan itu dipetik.

Tambahnya, maklumat yang diterima menyebut bahawa perisian ini digunakan untuk memadam aplikasi e-undi dalam tablet, mencuri data, mengubah kata laluan dan mengawal tablet menggunakan komputer dari jarak jauh.

Siasatan awal turut mendapati applikasi tersebut telah dipasang secara fizikal pada tablet rasmi JPP yang diperuntukkan bagi Cabang Julau sekitar jam 4 pagi tadi.

Difahamkan kem Rafizi juga dalam perjalanan membuat laporan polis.

Cabang Julau mendapat liputan meluas media selepas kenaikan penambahan anggota yang mendadak sehingga mencecah 13,000 pengundi.

Beberapa pimpinan PKR sebelum ini menggesa cabang tersebut digantung berikutan masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.

Bagaimanapun, biro politik menegaskan permohonan pendaftaran adalah mengikut prosedur dan dilakukan sebelum tarikh tutup 26 Jun 2018.

Terdahulu hari ini, ketua pemantau di pusat pengundian Julau mengumumkan keputusan pemilihan cabang tersebut ditangguhkan sejak jam 5.30 tadi.

Seramai lebih 13,000 orang termasuk 12,000 ahli baru keluar mengundi pada hari ini.

Sebilangan besar yang dilihat keluar mengundi adalah penyokong Ahli Parlimen Julau Larry Sng yang bertanding bagi jawatan pengerusi cabang Julau.

Sng merupakan penyokong kuat calon timbalan presiden Rafizi Ramli. – 10 November, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen